Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Antara janji manis dan janji kosong PAS

KOMENTAR | Ada pihak mempersoal Karnival Jom Heboh di Kelantan baru-baru ini di mana penonton lelaki dan perempuan duduk secara bercampur dan tidak berasingan seperti ditetapkan oleh Kerajaan PAS Kelantan.

Bukan sahaja lelaki dan perempuan duduk bersama cara bercampur tetapi dilaporkan pencahayaan lampu juga malap sama seperti dalam panggung wayang yang diharamkan di Kelantan.

Kalau di panggung wayang duduk secara bercampur dan lampu malap tidak dibenarkan, kenapa di program Karnival Jom Heboh boleh pula?

Ini bertentangan dengan peraturan kerajaan PAS sendiri dan tidak menepati budaya "membangun bersama Islam" yang disarankan oleh PAS juga .

Sebenarnya pelanggaran syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan PAS telah berlaku juga di pesta Rioh Sokmo Kelantan dan di konsert di Negeri Kedah berdekatan Masjid Zahir di mana penonton menari dan melompat lompat secara liar.

Kalau ia berlaku di negeri yang bukan dinaungi kerajaan PAS, mungkin PAS akan keluar tuduhan kerajaan negeri berkenaan liberal, kurang beriman dan tidak bermoral.

Di manakah janji-janji manis pelaksanaan peraturan yang dijurai serta digembar-gemburkan berulang kali oleh PAS selama ini?

Kalau janji tentang peraturan duduk berasingan dan lampu malap kawasan hiburan pun susah nak dilaksanakan PAS, bagaimana pula dengan peraturan dan undang-undang hudud serta RUU355 yang lebih rumit dan serius hukumannya?

Adakah sebab kerajaan PAS masih belum bersedia melaksanakan peraturan dan undang-undang ini? RUU 355 telah beberapa kali gagal dibentang untuk di bahas tetapi ditangguh atas pelbagai alasan lemah semasa PAS mentadbir kerajaan persekutuan.

Kalau PAS sendiri belum bersedia atas apa-apa pembentangan dan pelbagai alasan belum ada persiapan rapi, mengapa pihak lain dituduh tidak bermoral, kurang beriman dan musuh Islam selama ini?

Hukum dan peraturan undang-undang agama Islam tidak patut diperalatkan atas tujuan politik menjatuhkan seteru politik dengan menuduh mereka kurang Islamik dalam masa PAS sendiri belum bersedia melaksanakan peraturan hiburan, apatah lagi hudud yang di gembar-gemburkan mereka selama ini.

Rakyat dan penyokong PAS diperdayakan dengan pelbagai janji peraturan Islam yang hanya merupakan lebih janji kosong politik yang PAS sendiri tidak bersedia laksanakan .

Karnival Jom Heboh dan Rioh Sokmo di Kelantan dan konsert di Kedah adalah contoh contoh janji-janji manis kosong PAS yang mereka sendiri tidak mampu melaksanakan kawalan tetapi pihak lain dikecam dan dituduh musuh Islam atas masalah yang sama.

Inilah contoh akibatnya apabila agama diperalatkan semata mata untuk dapat pengaruh politik hendak berkuasa.

Allah menunjukkan kelemahan diri PAS sendiri yang gagal melaksanakan janji apa yang mereka manipulasi dengan memperalatkan Islam bagi mencapai cita-cita politik mereka.

PAS janganlah menuduh pihak lain musuh Islam atau tidak beriman apabila PAS sendiri hanya bercakap berdegar-degar tetapi diri sendiri tidak upaya dan tidak bersungguh sungguh menglaksanakan undang undang Islam yang mereka tuduh pihak lain gagal.

Itu sikap tidak adil cara hipokrit namanya.


RAJA BAHRIN SHAH merupakan pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS