Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo anti-Zahid: MP kerajaan gesa PN ikut undang-undang

Ahli parlimen kerajaan menyuarakan harapan Pemuda PN akan mengikut undang-undang ketika menganjurkan perhimpunan bagi membantah penarikan balik pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Ahlu Parlimen Batu dari PKR, P Prabakaran mengingatkan PN agar mengikut undang-undang dan memohon polis permit untuk perhimpunan itu.

Menegaskan ahli Parlimen PH menyokong kebebasan bersuara, dia berkata perhimpunan itu perlu berjalan dengan aman.

"Jika mereka tak hantar permohonan kepada polis dan polis tidak benarkan perhimpunan itu, ia akan menimbulkan masalah," katanya kepada Malaysiakini di Parlimen hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkara perhimpunan pada Hari Malaysia di kompleks beli belah Sogo itu adalah sebahagian daripada "Gerakan Selamatkan Malaysia".

Dia berkata gerakan itu bertujuan mengumpulkan seramai mungkin rakyat Malaysia khususnya golongan belia bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kes mahkamah Zahid dan keadaan institusi kehakiman dan keadilan negara.

Pemuda PN

Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata pihaknya belum menerima apa-apa permohonan daripada PN berkenaan perhimpunan itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata polis ada hak untuk menyiasat penganjur kepada mana-mana perhimpunan yang melanggar undang-undang.

"Apabila adakan perhimpunan yang tidak berdasarkan undang-undang, ia perlu disiasat.

"Ini kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak kontroversi dan mengancam keselamatan negara," kata ahli Parlimen Batu Gajah dari DAP itu.

Howard Lee

Ahli Parlimen Ipoh Timor dari DAP Howard Lee turut berkongsi sentimen sama, dan berkata pihak di belakang perhimpunan haram dan tidak aman perlu dipertanggungjawabkan.

"Secara peribadi, saya penyokong kuat perhimpunan aman dan mengikut undang-undang.

"Jika ia tidak melanggar undang-undang dan aman, tak sepatutnya ada masalah," katanya.

Tiada campur tangan

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata kerajaan tidak akan terlibat jika polis memutuskan untuk menyiasat perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita (PH) sekarang dalam kerajaan dan saya rasa orang ramai ada jangaan untuk kita tidak campur tangan dalam bagaimana undang-undang dikuatkuasakan.

"Sebenarnya saya telah ambil pendirian itu sejak jadi sebahagian daripada kerajaan. Saya tak campur tangan dan undang-undang dirangka dengan cara agar polis ikut undang-undang ketika menguatkuasakannya.

"Jika ada pihak merasakan ia tidak dilakukan mengikut undang-undang, ada saluran untuk mencabarnya," katanya ketika ditanya jika kerajaan akan memastikan polis tidak akan menyiasat PN di bawah akta tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS