Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sedia melihat kembali dasar GST, kata Rafizi

Kerajaan sedia untuk mengkaji pelbagai pendekatan bagi mencapai kemampanan fiskal termasuk melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli apa saja keputusan yang akan dibuat kelak, ia akan dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

"Kami terbuka untuk melalui apa sahaja cara yang kami boleh untuk mencapai kemampanan fiskal ini melalui asas hasil yang lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal, GST atau apa-apa bentuk cukai langsung atau tidak langsung," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Rafizi dia lebih suka mengekalkan strategi terbuka sebegitu dan sebarang keputusan yang akan diambil dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

Pada 28 Feb lalu, Rafizi berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan GST akan dilaksanakan dan hanya akan diputuskan apabila masanya tiba.

Pun begitu menurut Rafizi pelaksanaan semula GST perlu bersifat lebih progresif.

"Pandangan saya mengenai GST ialah, apabila tiba masanya, ia adalah sesuatu yang kita perlu lihat.

"Tetapi sebelum itu, kita mempunyai laluan yang mencukupi untuk tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang untuk memperbaiki perkara yang berada dalam kawalan kita.

"Sebagai contoh, kita (kerajaan) mampu menguruskan perbelanjaan kita dengan lebih baik kali ini," katanya.

Dalam pada itu Rafizi berkata kesan pergolakan ekonomi global turut dirasai Malaysia ketika ini, namun kerajaan yakin dapat mengurusnya dengan baik.

"Pegumuman apa saja cukai baru, apa juga hasil bagi baru kami lakukan dengan MOF bersama pengumuman bajet untuk diumumkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS