Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perjuangan DAP demi Malaysia untuk rakyat Malaysia'
Diterbitkan:  Sep 11, 2023 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Komitmen DAP untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan, termasuk agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu, tidak perlu dipersoalkan lagi.

Ini adalah mesej daripada tiga anggota eksekutif pusat parti, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali kepada sama ada "kawan atau  lawan".

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga mereka merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang memberi jaminan bahawa parti itu akan sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam melaksanakan dasar dan keputusan politik berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab kebimbangan Umno, yang presidennya Ahmad Zahid Hamidi menghadiri kongres nasional DAP semalam, Loke menegaskan bahawa mereka bukan komunis sebaliknya mengambil pendekatan politik yang mengamalkan doktrin 'pertengahan kiri' berasaskan ideologi sosial demokrasi.

Young Sefura, Syahredzan dan Sheikh Umar berkata pendirian ini selaras dengan resolusi yang diluluskan oleh para pewakilan pada persidangan DAP yang mengukukuhkan komitmen parti seperti yang dinyatakan di dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu iaitu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“(Ini) termasuk Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain dalam Malaysia,” kata mereka.  

Mengenai isu komposisi kaum, yang sering diperkatakan oleh pengkritik DAP, ketiga-tiga mereka berkata parti itu mewakili semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu.

“Perjuangan DAP adalah demi Malaysia untuk rakyat Malaysia.

“Orang Melayu dalam DAP, seperti kaum dan bangsa lain, memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada parti untuk menabur bakti pada rakyat. 

“Ahli DAP berbangsa Melayu mempunyai kedudukan di setiap lapisan parti,” kata mereka.

Menurut pemimpin CEC itu, bukti perjuangan DAP selari dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mengikut lunas undang-undang adalah parti itu secara konsisten melibatkan diri dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara. 

“Dengan ini, kami menyeru supaya jangan ada lagi pihak, sama ada kawan atau lawan, yang mempersoalkan asas perjuangan dan pendirian parti DAP selepas ini mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan,” kata mereka lagi.

Seteru politik DAP, termasuk Umno pada masa lalu, sering menyebarkan naratif palsu terhadap parti yang didominasi kaum Cina itu untuk menyemai rasa tidak percaya di kalangan pengundi Melayu-Islam.

Selain dilabel sebagai komunis, DAP juga didakwa cuba menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia manakala ahli Melayunya pula difitnah sebagai mereka yang membolehkan menjayakan cita-cita tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS