Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Asri Mat Daud menjelaskan penganjuran konsert sempena Karnival Jom Heboh (KJH) dipantau oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) seawal Maghrib sehingga selesai acara itu.
Dia berkata, penyelarasan KJH di Kelantan kali ini adalah di bawah pemantauan portfolionya, manakala permohonan konsert sempena konsert dipohon dan diluluskan MPKB-BRI dan penganjur bersetuju dengan semua peraturan dan syarat yang ditetapkan.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai pelesenan MPKB-BRI berkenaan penganjuran konsert sempena KJH dipantau penguatkuasa seawal maghrib sehingga selesai konsert.
“Laporan juga diterima bahawa keadaan adalah terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton berkenaan pengasingan tempat duduk (kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki) dan berulang kali memohon menerusi hebahan agar penonton menjaga tata susila sepanjang konsert,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Mohd Asri yang juga anggota dewan undangan negeri (DUN) Demit berkata demikian sebagai menjawab gesaan daripada Wanita PKR Kelantan meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai penganjuran konsert kemuncak program KJH di Kota Bharu malam semalam yang bercampur kedudukan antara penonton lelaki dan wanita.
Ketuanya, Nor Azmiza Mamat mendakwa, berdasarkan gambar dan rakaman video yang tular jelas menunjukkan penganjuran konsert anjuran Media Prima itu tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998.
Justeru katanya, keadaan itu bercanggah dengan jaminan Mohd Asri sehari sebelum acara berlangsung yang mengatakan karnival itu akan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 dan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Sementara itu mengulas lanjut Mohd Asri berkata, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudiannya diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.
Jelasnya, garis panduan ini diwujudkan bagi tujuan menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan di bawah kawalan kerajaan negeri berdasarkan enakmen berkenaan sebagai panduan kepada pegawai-pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.
“Bagi melengkapkan garis panduan kawalan hiburan yang ada, pihak MPKB mengeluarkan syarat-syarat bagi melicinkan urusan pelesenan.
“Saya menegaskan bahawa, Kelantan bumi Serambi Mekah ini sejak sekian lama dahulu hingga kini, terbuka dan mengalu-alukan sebarang penganjuran apa jua karnival atau hiburan sekiranya penganjur boleh mengikuti syarat penganjuran.
“Apa yang lebih penting penganjur juga hendaklah mengambil kira pendekatan negeri ini yang konsisten dengan dasar MBI,” katanya.
Tambahnya, bagi pihak kerajaan negeri dia berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan KJH dengan versi MBI terutama Media Prima yang memberikan jolokan ‘Jom Heboh konsep patuh syariah’.
“Ia sejajar dengan saranan kerajaan negeri melibatkan aktiviti bersifat Islamik seperti forum perdana ehwal Islam, kuliah khas pagi Jumaat, pertandingan azan dan bercerita serta MyQurantime,” kata Mohd Asri.