Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DNAA Zahid: Pemuda PN anjur himpunan bantah pada 16 Sept

Sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia 16 September ini sebagai tanda protes terhadap penarikan balik pertuduhan jenayah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang medianya, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan perhimpunan itu adalah sebahagian daripada gerakan yang dipanggil 'Gerakan Selamatkan Malaysia' yang dilancarkan hari ini.

Menurutnya, gerakan itu bertujuan mengumpulkan seramai mungkin rakyat Malaysia khususnya golongan belia bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kes mahkamah Zahid dan keadaan institusi kehakiman dan keadilan negara.

“Kekecewaan kami telah memuncak dan kami merancang untuk menganjurkan Gerakan Selamatkan Malaysia.

“Jadi kemuncaknya apa kami nak laksanakan ialah Gerakan Selamatkan Malaysia.

Kempen awal ialah pada Hari Malaysia, Sabtu ini, depan (pusat beli-belah) Sogo di Kuala Lumpur.

“Himpunan ini akan kumpulakan anak muda yang sayangkan negara. Pakai pakaian putih dan bawa bendera Malaysia,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah wakil rakyat dari PN termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga timbalan Fadhli, Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin, Hilman Idham (Gombak Setia), dan wakil daripada NGO Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia (Gamis) dan Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Gamis dan Ummah akan bertanggungjawab menggerakkan penyokong untuk perhimpunan pergerakan itu, menurut Ahmad Fadhli.

Dia berkata pergerakan itu dimulakan bagi membantah keputusan Jabatan Peguam Negara yang didakwanya telah mencemarkan nama baik negara khususnya dalam memerangi rasuah.

Menurut Ahmad Fadhli yang merupakan pemimpin PAS, perhimpunan Sabtu ini bukanlah yang terakhir kerana mereka bercadang untuk mengadakan jerayawara di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu itu.

Ditanya sama ada mereka telah memohon kebenaran polis untuk mengadakan perhimpunan itu, dia memberitahu pemberita bahawa mereka akan mematuhi undang-undang dalam penganjuran himpunan berkenaan.

Ahmad Fadhli juga percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebab untuk menghalang protes itu.

"Saya yakin kerajaan 'Reformasi' tidak ada sebab untuk menolak permohonan kami untuk mengadakan bantahan ini, kerana mereka juga memulakan (gerakan mereka) daripada mengadakan protes jalanan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS