Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke jamin pendekatan sederhana, seru sekutu ikut langkah sama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi jaminan kepada sekutunya dalam kerajaan campuran, khususnya Umno, bahawa parti mereka akan sentiasa bersederhana apabila membuat keputusan dan dasar.

Berucap di Kongres DAP, dia turut menyeru parti-parti dalam kerajaan supaya menggunakan pendekatan "jalan pertengahan" untuk menarik pengundi memberikan sokongan kepada kerajaan.

"Sebagai sebuah parti yang berlandaskan ideologi demokrasi sosial, kami mengamalkan pendekatan politik centre left (kiri tengah) dari segi doktrin. Kita bukannya parti komunis.

"Jadi saya nak kata ideologi kita demokrasi sosial dan sentris adalah pendekatan yang paling penting dan semua parti yang memebentuk kerajaan perpaduan mesti mengambil jalan pertengahan sentris supaya kita boleh menjadi satu dokongan dan menjadi satu pilihan kepada majoriti rakyat Malaysia.

"Apabila kita mengumpul kekuatan ini dan dibawa ke tengah, jadi kekuatan ini gravitinya akan berpusat di politik pertengahan, politik sederhana.

"Percayakan politik pertengahan ini kuasa besar yang boleh menewaskan politik ekstrim dan poltiik keterlaluan oleh pihak lawan," katanya semasa berucap pada kongres yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Loke menambah, orang Melayu tidak perlu risau tentang DAP kerana perjuangannya selaras dengan perlembagaan persekutuan dan Rukun Negara.

Ini termasuk memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hari ini adalah persidangan pertama Kongres DAP sejak bekerjasama dengan parti dan gabungan lain untuk membentuk kerajaan pada November tahun lepas.

Antara yang hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mencipta sejarah sebagai presiden pertama parti itu menghadiri Kongres DAP.

Loke menegaskan kerajaan perpaduan - yang merangkumi 19 parti politik - adalah satu-satunya pilihan untuk Malaysia bangkit dan mencapai kehebatan dalam aspek ekonomi dan sosial.

“Ini adalah satu-satunya kerajaan yang inklusif dan benar-benar mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia.

“Misi dalam kerajaan perpaduan adalah untuk memastikan perpaduan ini berjaya kerana bagi DAP, kerajaan ini adalah satu-satunya pilihan untuk membina semula negara kita dan memastikan Malaysia bangkit semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS