PRK JOHOR | Pertembungan bagi merebut kerusi Parlimen Pulai diselubungi awan mendung dan angin kencang, mempengaruhi jumlah pengundi yang keluar hari ini.
Keputusan di Pulai akan menentukan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat atau tidak.
Satu lagi PRK yang berlangsung hari ini adalah di DUN Simpang Jeram.
Ikuti laporan langsung Malaysiakini untuk perkembangan terkini PRK Pulai dan Simpang Jeram.
Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini
11.30 malam: Dengan ini tamat laporan langsung Malaysiakini bagi PRK Simpang Jeram dan Pulai. Laporan kami sepanjang kempen 14 hari dibawa kepada anda oleh Alyaa Alhadjri, Shakira Buang dan Kimberly Tai.
Bantu kami kekal berdikari dengan melanggan Malaysiakini.
11.15 malam: Suhaizan Kaiat yang baru menang sebagai ahli parlimen Pulai menyampaikan ucapan rasmi pertamanya kepada pemimpin dan penyokong Amanah, serta beberapa pemimpin tempatan parti komponen BN.
"Saya lihat kemenangan ini sebagai hadiah buat Allahyarham Salahuddin Ayub.
"Ini juga menunjukkan Bangsa Johor tolak politik kebencian," katanya yang merupakan naib ketua Amanah Johor.
Suhaizan juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti termasuk daripada BN atas bantuan mereka.
Terdahulu ketibaannya disambut sorakan penyokong yang berkumpul di Dataran Taman Dahlia di Perling.
Suhaizan akhirnya menang lepas 6 kali bertanding
10.15 malam: Suhaizan Kayat akhirnya terpilih menjadi ahli parlimen selepas enam kali percubaannya untuk menjadi wakil rakyat gagal.
Ketika bersama PAS, Suhaizan pernah menjadi calon parlimen bagi Parit Sulong (2004) dan Simpang renggam (2013). Dia juga pernah menjadi calon PAS untuk kerusi DUN Kempas sebanyak dua kali (2008 dan 2013).
Ketika menjadi ahli Amanah, Suhaizan adalah calon di Kukup (2018) dan Pulai Sebatang (2022).
Tiga daripada pertandingan itu (Kempas pada 2008, Pulai Sebatang pada 2022 dan Parit Sulong pada 2004) menyaksikan Suhaizan memenangi kurang daripada 40 peratus undi.
Rasmi: Suhaizan menang di Pulai dengan majoriti 18,641 undi
10.10 malam: SPR secara rasmi mengumumkan Suhaizan Kaiat memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi.
Calon PH itu memperoleh 48,283 undi secara keseluruhan dengan 62 peratus undi, meningkat daripada 55.5 peratus pada pilihan raya umum tahun lalu.
Sementara itu, PN pula memperoleh 29,642 undi. Peratusan undi untuk PN juga meningkat daripada 17.6 peratus tahun lalu kepada 38 peratus hari ini.
Tak rasmi: PH menang di Pulai, PN akur tewas
9.55 malam: Pulai - Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH memenangi kerusi parlimen Pulai dengan majoriti yang tidak boleh disangkal lagi.
Calon PN Pulai, Zulkifli Jaafar, juga akur dengan kekalahannya pada PRK kali ini.
Bagaimanapun, bercakap kepada pemberita, Zulkifli berkata menyifatkan kekalahannya sebagai "kalah bermaruah”.
Kata Zulkifli, sebelum ini perbezaan undi sangat besar, tetapi sekarang hanya belasan ribu.
Keputusan yang diperoleh Malaysiakini menunjukkan PN ketinggalan kira-kira 19,630 undi, dengan sekurang-kurangnya 4,000 undi masih belum dikira.
Kemenangan semua dalam Kerajaan Perpaduan - Nazri
9.52 malam: Calon PH, Nazri Abdul Rahman yang baru diumum memenangi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, kemenangan itu sekali gus menangkis dakwaan bahawa gabungan PH-BN ditolak rakyat.
Bercakap kepada pemberita di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar, sebentar tadi Nazri berkata kemenangannya itu juga bukan kemenangannya seorang.
“Ini adalah kemenangan daripada semua dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pilihan raya pada kali ini adalah gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera di pihak PH dan BN. Tanpa kerjasama dan kerja keras mereka tak mungkin saya dapat kemenangan sebegini rupa,” katanya.
Asyraf Wajdi dakwa kemenangan besar PH di Pulai
9.30 malam: Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa PH memenangi kerusi parlimen Pulai dengan majoriti 42,223 undi.
Infografik yang disiarkan oleh Asyraf di Facebook mendakwa PH memperoleh 66,900 undi, berbanding 24,677 undi yang diperoleh PN.
Grafik itu juga mendakwa peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 55 peratus.
Malaysiakini masih belum dapat mengesahkan dakwaan tersebut.
Ketibaan Khaled Nordin dan pemimpin Umno lain
9.15 malam: Pengerusi Umno Johor Mohd Khaled Norden mengetuai ketibaan pemimpin Umno bagi bersama dengan pimpinan dan penyokong PH.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan; Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Johor, Azleen Ambros antara yang hadir.
Penyokong meminta Ahmad menyampaikan pantun, menyebabkan pengacara majlis berjenaka dengan mengatakan tunggu sehingga pengumuman selesai.
Sementara menunggu keputusan rasmi bagi keputusan PRK Pulai, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berucap kepada merekla yang hadir dengan sekali lagi mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka.
Suhaizan berada di pusat penjumlahan undi
9.20 malam: Pulai - Calon PH di kerusi parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat kini berada di pusat penjumlahan undi Suruhanjaya Pilihan Raya.
The Star melaporkan timbalan pengerusi Amanah Johor itu diberi sambutan bagaikan wira oleh penyokongnya.
Keputusan tidak rasmi terkini menujukkan Suhaizan mendahului dengan majoriti 13,000 undi.
Bagaimanapun, masih terdapat lebih 30,000 undi belum dikira.
Semakin ramai penyokong berkumpul
9.10 malam: Pengarah jentera pilihan raya PH, Azam Harun berucap di hadapan penyokong yang semakin ramai membanjiri Dataran Taman Dahlia.
Dia mengucapkan terima kasih kepada semua petugas parti dan mengumumkan kemenangan tidak rasmi PH di Simpang Jeram.
Rasmi: PH menang di Simpang Jeram
9 malam - Keputusan rasmi menunjukkan calon PH Nazri Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi Simpang Jeram.
PH memperoleh 13,844 undi manakala PN di tempat kedua dengan 10,330 undi. Calon bebas S Jeganaathan pula mendapat 311 undi.
Dari segi pecahan undi, PH memperoleh 56.54 peratus, meningkat daripada 40.94 peratus yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub pada pilihan raya DUN Johor pada 2022.
Bagaimanapun, pecahan undi untuk PN juga meningkat kepada 42.19 peratus daripada 29.72 peratus pada 2022.
Ini menunjukkan bahawa mereka yang mengundi BN pada 2022 telah memecahkan undi antara PH dan PN.
Bagaimanapun, ini hanyalah kesimpulan awal yang memerlukan penelitian lebih lanjut apabila keputusan daerah mengundi dikeluarkan.
Pemimpin Amanah berkumpul bersama penyokong
8.40 malam: Pulai - Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan bersama dengan penyokong di Dataran Taman Dahlia di Perling, di mana parti itu mengumumkan keputusan tidak rasmi terkini.
Bagaimanapun, skrin tidak dapat memaparkan keputusan terkini menyebabkan orang ramai yang hadir merasa kecewa.
"Sabar Sabar ini bukan blackout di tempat penjumlahan undi," kata pengacara majlis.
PH meninggalkan PN dengan perbezaan 13,000 undi di Pulai
8.35 malam: Kadar keluar mengundi yang rendah nampaknya tidak menjejaskan prestasi PH di Pulai.
PH kini mendahului dengan perbezaan kira-kira 13,000 undi di kerusi Parlimen itu.
Berdasarkan kiraan tidak rasmi, PH setakat ini mendapat 23,334 undi manakala PN dengan 9,591 undi.
Tak rasmi: PH menang di Simpang Jeram
8.30 malam: Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH menang di Simpang Jeram dengan meraih 13,655 undi, berbanding PN dengan 10,147 undi.
Ini bermakna undi yang diraih PH melepasi paras 50 peratus undi, berdasarkan anggaran Malaysiakini.
Sebelum ini, peluang PN dilihat lebih tinggi di kerusi DUN itu berbanding di Pulai.
Ia antaranya memandangkan DUN tersebut dekat dengan Pagoh iaitu kubu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, serta memiliki jumlah pengundi Melayu yang tinggi iaitu 52 peratus.
8.11 malam: Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Malaysiakini tidak menjangkakan PN akan mampu memintas PH di Simpang Jeram.
Dengan jumlah 12,036 undi, PH dijangka melepasi paras 50 peratus undi tidak lama lagi dan seterusnya mengekalkan kemenangannya di kerusi DUN itu.
Sementara itu, PH juga masih mendahului di Pulai dengan 11,841 undi. PN setakat ini meraih 9,111 undi.
PH lepasi 10,000 undi di Simpang Jeram
8 malam: PH melepasi 10,000 undi di Simpang Jeram, menurut keputusan tidak rasmi.
PH dilaporkan mendapat 10,333 undi di kerusi DUN itu manakala PN mendapat 7,839 undi.
Di Pulai, PH kian melebarkan jurang dengan 9,212 undi, meninggalkan PN yang mendapat 5,520 undi.
7.50 petang: Keputusan tidak rasmi terbaru menunjukkan PH kekal mendahului di Pulai dan Simpang Jeram.
Di Pulai, PH setakat ini mendapat 8,322 undi manakala PN ketinggalan dengan 5,422 undi.
Di Simpang Jeram pula, PH setakat ini mendapat 6,858 undi dan PN sebanyak 4,616 undi.
PH mendahului di Pulai
7.25 petang: Keputusan tidak rasmi di Pulai menunjukkan PH sedang mendahului dengan 4,574 undi setakat ini.
PN sedikit ketinggalan dengan 2,305 undi, manakala calon bebas meraih 48 undi.
Di Simpang Jeram, PH mendahului dengan 178 undi setakat ini, manakala PN dengan 95 undi dan calon bebas mendapat empat undi.
Terdahulu, undi pos di Simpang Jeram yang dikira SPR menunjukkan PN mendapat 61 undi dan PH dengan 36 undi. Terdapat lima undi rosak.
PH, BN berkumpul di lokasi berbeza
7.15 petang: Di Pulai, PH dan BN akan mengikuti kiraan tidak rasmi di lokasi berbeza.
PH dijangka akan berkumpul di Dataran Taman Dahlia pada jam lapan malam, manakala penyokong BN di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga dijangka hadir ke kompleks itu.
PN pula akan berkumpul di pusat operasi kempen mereka di Jalan Rawa, Perling. Ia terletak bersebelahan dengan pejabat MCA Pulai.
Bagaimanapun tiada perkumpulan untuk Simpang Jeram. Kedua-dua wakil calon PH dan PN berkata mereka akan berada di pusat kiraan undi SPR di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.
PH berdepan risiko di Pulai
6.45 petang: Dengan kadar keluar mengundi di Pulai dijangka bawah 50 peratus, PH dalam keadaan sukar walaupun menang di kerusi itu dengan meraih 55 peratus undi pada PRU15.
Pada PRU itu, PN mendapat 17.6 peratus undi.
Ini bermakna jika semua yang memilih PN pada PRU lalu keluar hari ini dan kekal mengundi gabungan itu, PN tidak jauh dari mencapai separuh daripada undi hari ini.
Selain itu, PRN di enam negeri sebelum ini menunjukkan PN berjaya meraih sokongan penyokong BN.
Bagaimanapun keadaan berbeza jika cuaca mendung di Pulai hari ini turut menjejaskan jumlah penyokong PN yang keluar mengundi.
Kadar sangat rendah
6.30 petang: Menurut kemas kini terakhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam empat petang, kadar keluar mengundi di Pulai hanya 42 peratus - jauh berbeza berbanding kadar 70.96 peratus pada PRU15.
Kadar keluar mengundi di Simpang Jeram sedikit baik, iaitu 56 peratus.
Sebagai perbandingan, purata kadar keluar mengundi ketika PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu adalah sekitar 70 peratus.