Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasukan petugas khas siasat pendaftaran nombor plat klasik
Diterbitkan:  Sep 9, 2023 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan pasukan petugas khas menyiasat kemungkinan berlaku salah urus dalam proses pendaftaran nombor plat klasik.

Arahan itu dibuat selepas pemberi maklumat dikenali sebagai Edisi Siasat mendakwa nombor plat klasik sedang dihidupkan semula dan dijual dengan harga ribuan ringgit setiap satu.

Plat nombor sebegitu digemari oleh pengumpul kerana dikeluarkan beberapa dekad yang lalu. Kebanyakannya ia hanya terdiri daripada satu huruf atau beberapa nombor, seperti A2, D24 dan P88.

Loke berkata dia mengetengahkan perkara itu pada mesyuarat pascakabinet semalam.

“Saya mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas di Kementerian Pengangkutan dan ia juga akan dianggotai unit integriti kementerian.

“Pasukan petugas khas telah diberi mandat untuk menyiasat dakwaan itu dan juga mengesyorkan penambahbaikan bagi mengukuhkan ketelusan proses pendaftaran plat nombor klasik,” katanya dalam satu kenyataan.

Edisi Siasat mendakwa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berada di belakang "sindiket" menghidupkan semula nombor plat dan ada menteri turut terlibat.

Dokumen bertajuk “JPJandora Papers” yang diterbitkan oleh Edisi Siasat mengandungi senarai nama dan nombor kad pengenalan yang didaftarkan pada nombor plat yang didakwa dijual.

Sementara itu Loke berkata dia turut mengarahkan JPJ untuk menambah baik sistem e-bidaannya yang menghadapi kekangan pada waktu puncak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS