Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sudah tiba masanya ahli Umno tinggalkan parti, kata Dr M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad malam ini menyertai barisan pimpinan tinggi PN yang berkumpul bagi memberikan sokongan kepada calon gabungan itu bagi PRK Pulai, Zulkifli Jaafar.

Dalam ucapannya di depan beberapa ratus hadirin, Mahathir menggesa ahli Umno untuk meninggalkan parti itu dan menyokong PN.

"Saki baki orang Umno, tinggalkanlah Umno...Bukan Umno lagi dah. Sokong Perikatan Nasional.

"Saya yakin kalau PN menang, bukan saja nasib orang Melayu terbela, tetapi jua orang Cina dan India," katanya yang kini mengetuai Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Seruan itu disambut laungan "Perikatan Nasional" oleh para hadirin yang berkumpul di Kempas, iaitu satu daripada dua kerusi DUN di bawah Parlimen Pulai. Sepanjang dua minggu kempen, antara usaha PN adalah mengukuhkan kedudukannya di kerusi majoriti Melayu itu.

"Orang Melayu tak zalim (dan) berpegang pada undang-undang. Tapi ada yang penyangak," katanya lagi.

Antara pemimpin lain yang hadir dalam program malam ini adalah Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Sementara itu, Mahathir menyifatkan kepimpinan Umno di bawah presiden Ahmad Zahid Hamidi telah meninggalkan perjuangan terasnya, iaitu untuk bangsa, agama dan negara.

Sebaliknya, kata bekas presiden Umno itu lagi, parti itu kini hanya berjuang untuk membebaskan Zahid daripada pertuduhan rasuah.

"Jadi tolak Umno dan undi PN.

"Keluar ramai-ramai (di hari mengundi esok) macam pesta untuk undi dan selamatkan agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

'DAP abai prinsip'

Dalam ucapannya, Mahathir turut mendakwa DAP telah mengabaikan prinsipnya dengan menyokong Zahid walaupun setelah persoalan dibangkitkan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskannya daripada 47 pertuduhan.

Dia juga mengulangi dakwaannya yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyekat kebebasan bersuara menerusi undang-undang terhadap isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

"Kes saya dah sampai ke peguam negara. Tak apalah. Tetapi saya hairan kenapa nak dilaksanakan undang-undang ini.

"Negara kita ini bukan amalkan kedaulatan undang-undang. Negara kita amalkan 'new rule of law'," katanya yang disiasat atas dakwaan menghina institusi diraja.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata polis telah menyerahkan kertas siasatan terhadap Mahathir dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS