Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Adakan sidang khas parlimen bincang isu beras

KATA MP | Saya menzahirkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan bekalan beras padi di negara kita mutakhir ini.

Melihat keperluan penting untuk menangani isu ini, saya mendesak kerajaan untuk segera mengadakan sidang khas pada minggu hadapan ketika sesi khas parlimen membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Sidang khas itu perlu disegerakan untuk memastikan bekalan beras negara kekal terjamin.

Saya juga menekankan keperluan merangka perancangan jangka masa panjang dalam Rancangan Malaysia ke-13 untuk mengatasi masalah bekalan beras khususnya sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara kepada 100 peratus.

RMK12 telah menyatakan komitmen kepada usaha pemulihan dalam sektor pertanian dan bekalan makanan. Namun, saya melihat dengan bimbang bekalan beras tempatan tidak akan pulih dalam masa sebulan seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini.

Saya juga melahirkan ketidakyakinan kenyataan bahawa bekalan beras tempatan akan pulih dalam masa sebulan memandangkan sesi libat urus pengilang dan pemegang taruh industri beras negara hanya diadakan pada 7 Sept.

Saya yakin kaedah dan mekanisme berkaitan usaha pemulihan perlu dibincangkan dan diselidiki secara menyeluruh untuk memastikan keberkesanannya. Ini bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan cepat, dan keputusan yang dibuat sekarang akan mempengaruhi masa depan bekalan beras negara.

Selain itu, larangan eksport beras oleh negara seperti Thailand dan India menyebabkan ketidakstabilan dalam bekalan beras di peringkat global.

Ini memberi kesan terhadap negara pengimport seperti Malaysia sehingga menyebabkan kenaikan harga yang drastik.

Keadaan ini telah memberi tekanan kepada rakyat Malaysia yang sedang berusaha untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Masalah ini juga dipengaruhi oleh konflik dunia dan perubahan iklim yang semakin meruncing, yang mengganggu pengeluaran tanaman secara keseluruhan.

Hal ini mengakibatkan kenaikan harga beras yang tidak dapat dielakkan.

Keberkesanan dan kestabilan bekalan beras adalah kunci kepada kedaulatan makanan di Malaysia, dan kepentingan rakyat harus dipelihara dengan sepenuh hati.

Langkah-langkah intervensi yang diperlukan dalam pelan ini haruslah merangkumi aspek-aspek berikut:

* Peningkatan pengeluaran beras tempatan: Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran beras tempatan dengan menyokong pesawah-pesawah tempatan melalui penyediaan teknologi moden, latihan, dan bantuan kewangan yang lebih besar.

* Penentuan harga siling untuk beras import: Penting untuk kerajaan mengkaji semula dan menetapkan harga siling ke atas beras import. Ini akan memastikan beras tempatan bersaing dengan saksama, serta mengelakkan penyalahgunaan harga oleh pihak tertentu.

* Pelan pemulihan jangka sederhana dan panjang: Kerajaan diminta merangka pelan pemulihan yang komprehensif termasuk langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang. Ini perlu disusun dengan teliti dan berlandaskan kepada analisis menyeluruh mengenai masalah bekalan beras negara.

* Perkongsian data dan kerjasama industri: Kerajaan harus menggalakkan perkongsian data yang lebih baik dalam kalangan pemain industri beras untuk memantau dan meramal bekalan dengan lebih efisien. Kerjasama antara sektor awam dan swasta juga penting untuk mencapai matlamat ini.

Akhir kata, saya menekankan keperluan segera mengadakan sidang khas parlimen untuk membincangkan langkah-langkah besar yang perlu diambil dalam menghadapi isu kritikal ini.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk menyatukan kepakaran dan sumber daya negara bagi menangani masalah bekalan beras padi yang merupakan tulang belakang kestabilan dan keterjaminan makanan negara.


AHMAD TARMIZI SULAIMAN ialah ahli parlimen Sik dan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS