Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petisyen PRU Masjid Tanah: Mahkamah keluar waran tangkap ke atas 2 saksi

Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengeluarkan waran tangkap terhadap dua saksi yang gagal hadir semasa perbicaraan penuh hari ini terhadap petisyen calon BN Abdul Hakim Abdul Wahid yang mencabar kemenangan pemimpin PN Mas Ermieyati Samsudin bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada pilihan raya umum ke-15.

Peguam, Abdul Hakim Amin Othman memaklumkan kepada media bahawa waran tangkap itu dikeluarkan terhadap dua saksi pempetisyen - iaitu Pengerusi Pemuda Bersatu (Armada) Akmal Zahin Zainal Zahir dan bekas setiausaha sulit Mas Ermieyati, Noor Hashimah Noordin.

“Waran tangkap ke atas Akmal dikeluarkan atas kegagalannya hadir sebagai saksi.

“Dia diperintahkan hadir di Mahkamah Tinggi Pilihan Raya Melaka bagi memberi keterangan berhubung dakwaan dirinya (Akmal) memberi dorongan (sogokan) semasa PRU15 di Masjid Tanah.

"Hakim Mahkamah Pilihan Raya Abu Bakar Katar mengeluarkan waran tangkap apabila Akmal gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan," kata peguam itu.

Amin menjelaskan, semasa perbicaraan, satu video telah ditenderkan yang didakwa menunjukkan Akmal menyerahkan bungkusan berisi wang kepada pengundi di kawasan itu.

"Waran tangkap juga dikeluarkan kepada Hashimah oleh mahkamah yang sama kerana gagal hadir sebagai saksi yang disapina," kata peguam itu.

Menurut Amin, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Sept untuk kedua-dua saksi menghadiri prosiding seterusnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam tyang mewakili, Mas Ermieyati, Mohd Faizi Che Abu mengesahkan apa yang berlaku di Mahkamah Pilihan Raya awal hari ini.

Pada 7 Feb lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka Anselm Charles Fernandis membenarkan bantahan awal Mas Ermieyati untuk membatalkan petisyen pilihan raya Abdul Hakim.

Bagaimanapun, pada 2 Mei, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Abdul Hakim untuk mengembalikan semula tindakan undang-undang, dan memerintahkan petisyen itu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan penuh di hadapan hakim lain, iaitu Abu Bakar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS