Kalaulah Muhyiddin Yassin itu disayangi rakyat Johor, partinya sudah tentu telah menang besar dalam PRN Johor pada Mac tahun lalu. PN waktu itu hanya memperolehi tiga kerusi DUN sahaja. Ia tidak terhenti di situ, dengan PN cuma menang dua kerusi parlimen dalam PRU pada November tahun lepas—Paloh dan Mersing. Alahai!
Sama ada Bersatu atau PAS, jelas PN bukan parti untuk bangsa Johor. Tanyalah orang tua-tua di kampung-kampung, sebutkan nama Muhyiddin, mereka tahu benar rekod Muhyiddin sejak menjadi menteri besar Johor (1986-1992) yang penuh cerita-cerita tidak menyenangkan. Ada yang bilang, “tanah kubur sahaja yang tak dijualnya.”
Begitu ketika menjawat pelbagai jawatan di peringkat pusat, sedikit sekali Muhyiddin memandang atau memajukan negerinya. Percaturan dia hanya demi dirinya sendiri yang mahu naik atas tangga politik Umno dan kerajaan.
Muhyiddin mungkin hanya ahli politik yang biasa kita temukan, dan bukan pula pejuang rakyat yang sejati. Dia hanya ikut berdemonstrasi dalam Perhimpunan Bersih 5 pada 2016. Itu pun selepas usahanya untuk mewujudkan penentangan dalaman terhadap PM Najib Razak tidak berjaya.
Muhyiddin pun terbuang daripada Umno. Dia bersama Dr Mahathir Mohamad yang senasib pun datang menyembah parti-parti pembangkang yang waktu itu masih dikenali sebagai Pakatan Rakyat—kini nama rasminya: Pakatan Harapan.
Mereka terhegeh-hegeh mahu ikut dalam perlawanan menentang Najib, sehingga dalam PRU 2018, Muhyiddin bertanding dengan tiket dan logo keramat PKR. Dalam PRU itulah, Umno-BN buat pertama kali kalah sebagai sebuah kerajaan.
Dari sana, pelan-pelan wajah sebenar Muhyiddin muncul, iaitu wajah seorang pengkhianat. Nafsunya untuk menjadi perdana menteri yang membuak-buak tidak dapat disorok-sorok lagi. Sejarah hitam demokrasi Malaysia lantas dilakarnya dalam apa yang rakyat ingat sebagai “Langkah Sheraton” pada Februari 2020.
Kumpulan Muhyiddin mula memainkan naratif konon Anwar tidak sabar untuk menjadi PM. Mereka cuba memadamkan perjanjian mereka sendiri untuk menerima Anwar sebagai PM selepas setahun setengah Mahathir diberi peluang kali kedua menjadi perdana menteri.
Sejak dalam Umno, dalam hatinya Muhyiddin sebenarnya amat girang apabila setiap kali ada pemimpin yang lebih tinggi darinya, digulingkan. Setiap yang jatuh secara langsung memberi peluang untuk Muhyiddin naik setangga lagi untuk sampai ke mercu kuasa.
Sebab itulah, dia tidak bersama atau menyokong Anwar ketika Anwar dipecat oleh Mahathir pada 1998. Kalau Anwar kekal di dalam Umno, peluang Muhyiddin untuk segera menjadi presiden Umno dan PM pasti lebih rumit, dengan perlu melepasi seorang yang jauh lebih popular serta berkarisma berbanding dirinya.
Di era Abdullah Ahmad Badawi, PM ke-5 itu juga sedar ada yang menyucuk-nyucuk kedudukannya. Selain Mahathir, orang dalam Umno yang melakukan onar adalah Muhyiddin. Ketika Abdullah yang lembut serta baik hati berundur, malangnya Muhyiddin tidak dipilih untuk mengisi Seri Perdana. Abdullah memilih Najib sebagai pengganti.
Politik Muhyiddin; politik solo. Dia tidak ada kawan yang setia—melainkan sesama mereka hanya bersatu untuk berkuasa. Tunggu masa, siapa tikam siapa.
Ketika giliran Najib menjadi PM, kalau dikira ikut usia, Najib lebih muda berbanding Muhyiddin. Najib lahir pada 1953, sementara Muhyiddin lebih tua enam tahun.
Kalau Najib kekal dua penggal sahaja di puncak kuasa, usia bakal menjadi penghalang kepada Muhyiddin untuk mengganti Najib secara tertib. Mungkin dia akan hanya menghabiskan karier politiknya pada takat timbalan perdana menteri sahaja. Keadaan sebegitu pernah terjadi kepada beberapa pemimpin Umno terdahulu seperti Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh yang tidak berkesempatan menjadi PM kerana faktor usia.
Atas hukum alam itulah, maka Najib perlu dijatuhnya dari dalam dengan percubaan mencetuskan pemberontakan di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli Umno terhadap Najib. Kebetulan waktu itu, isu yang hangat dibicarakan ialah kes 1MDB.
Kejujuran Muhyiddin melawan korupsi atau rasuah sangat diragui. Kalaulah dia pejuang rakyat yang sejati dan dengan ikhlas berjuang untuk melawan rasuah, mengapa dia diam membisu dalam banyak kes rasuah sebelum 1MDB—terutama di era Reformasi yang mendedahkan seribu satu noda Mahathir? Waktu itu, Muhyiddin hanya diam, kerana dengan diam, dia yakin lebih berpeluang naik pangkat dalam parti.
Persoalan dalam benak Muhyiddin memang bukan rasuah. Bukan juga bangsa, agama dan negara. Persoalannya hanya untuk memastikan Najib perlu segera dilengserkan, kerana selagi Najib di atas terlalu lama dan selesa, peluang Muhyiddin menjadi PM semakin hari semakin tipis.
Perilaku dan helah Muhyiddin dalam menjadikan korupsi sebagai modal politik bermusim sebenarnya mengingatkan kita kepada sebuah hadith Nabi Muhammad SAW. Suatu ketika,
Baginda diriwayatkan pernah menjawab satu soalan oleh seorang sahabat, Abu Dzar Al-Ghifari.
Sabda Nabi: "Hendaklah keburukanmu menahanmu dari mencaci orang lain. Dan janganlah mencari aib orang lain, sedangkan kamu sendiri melakukannya. Cukuplah sebagai bahan untuk mencela dirimu bahwa kamu melihat aib orang lain, sedangkan aib itu ada pada dirimu tetapi kamu tidak menyadarinya, atau kamu memperbaiki kesalahan orang lain sedangkan kamu sendiri melakukannya".
Sabda Nabi sangat jelas mengenai sikap berpura-pura, dan dalam konteks politik di Malaysia hari ini, tidak ada ertinya seorang perasuah yang konon-kononnya turut melawan rasuah. Kalau perasuah melawan rasuah, ia tidak lain punya tiga tujuan iaitu yang pertama demi menutup kebusungan dirinya, kedua; membunuh musuhnya, dan ketiga; untuk berkuasa.
Sekalipun muslihat Muhyiddin nampaknya terkandas, akan tetapi masih ada lagi saki-baki pemimpin Umno yang juga menjalan helah yang saling tak tumpah sepertimana politik lapuk Muhyiddin. Ada yang tetap berharap giliran Zahid Hamidi pula digulingkan dari dalam, dan dipenjarakan.
Sekali lagi dengan mengambil peringatan hadith Nabi tadi, politikus sebegini cuba “memperbaiki kesalahan orang lain sedangkan kamu sendiri melakukannya”—bukanlah orang yang bersih suci, melainkan hanya mahu menggunakan isu tatakelola untuk mencantas orang atasannya sebelum berharap dapat naik pangkat.
Permainan atau ‘buah’ sama sebenarnya tidak boleh dibuka berkali-kali. P Ramlee juga pernah berpesan ketika Ibrahim Pendek hendak meminjam dadu dalam filem “Ali Baba”: “Ini dadu hanya boleh buka tiga kali saja!”
Apabila permainan sudah dapat dibaca, sekonyong-konyong ada yang ‘keluar sekejap’ pun meroyan, menuduh “Reformasi sudah mati”, atau dibilang ‘Reformati’. Tidak semena diseket sekali Anwar, PH, malah DAP dengan kata-kata yang konon tidak berprinsip dalam berhadapan dengan kes Zahid. Mereka menilai Kerajaan Perpaduan ikut campur urusan mahkamah seperti era Mahathir dahulu.
Sebenarnya kelompok pengamal politik lapuk itu tidak pernah pun menyokong Reformasi. Seperti Muhyiddin, mereka cuma sang oportunis yang selalu mahu mengambil kesempatan atas kesempitan. Mereka berjuang dengan wang; bukan dengan kudrat atau air mata.
Saya yakin, Reformasi belum mati. Bagi para aktivisnya, “hari Reformasi nasional” tidak pernah disambut pada 2 September, meski tarikh berkenaan Anwar dipecat oleh Mahathir. Ia selalu dikenang saban tahun pada tarikh 20 September—hari perhimpunan besar rakyat turun ke jalan raya untuk memulakan satu aksi: perlawanan kepada politik lapuk.
Kepada orang Johor di Simpang Jeram dan Pulai, selamat mengundi. Bersepakat kita bertambah kuat; bersekutu kita bertambah padu.
HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.