Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MB Perlis diberi 2 bulan lagi sediakan surat representasi

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh dua bulan lagi kepada bekas menteri besar Perlis Azlan Man untuk menyediakan surat representasi semakan kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.185 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan 10 Nov untuk sebutan lanjut kes tersebut supaya pasukan peguam tertuduh mempunyai lebih masa menyediakan dokumen berkaitan untuk representasi.

Pada 9 Jun lalu, peguam Azlan, Burhanudeen Abdul Wahid, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk memfailkan representasi.

Surat representasi adalah kaedah untuk seseorang tertuduh meminta pendakwa raya menyemak semula kes jenayah ke atas mereka, seperti menggugurkan pertuduhan atau tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan.

Semasa sebutan kes di hadapan Azura hari ini hari ini, Burhanudeen berkata mereka memerlukan masa tambahan untuk menyediakan dokumen representasi memandangkan kes itu melibatkan insiden yang didakwa sejak 2013.

“Kami meminta tambahan masa dua bulan lagi,” kata peguam itu yang mencadangkan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 10 Nov untuk memberikan masa kepada mereka melengkapkan dokumentasi dan menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan pendakwa raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai kemudian menyatakan pihaknya tidak membantah, sambil menambah mereka telah menyerahkan dokumen berkaitan kes Azlan kepada pasukan pembelaan.

Azura kemudian menetapkan 10 Nov untuk sebutan lanjut kes itu.

"Bagaimanapun, jika tiada perkembangan lanjut atau positif (dari segi representasi), maka pihak (pendakwaan dan pembelaan) mesti bersedia untuk perbicaraan penuh," kata hakim itu.

Pada 10 April lalu di Mahkamah Sesyen Kangar, Azlan dibicarakan atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM1.185 juta bagi perjalanannya ke United Kingdom.

Dua hari kemudian, dia didakwa pula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM1,059,675.25.

Azlan mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Berhubung pertuduhan tuntutan palsu itu, dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Dis 2013 dan 14 Dis 2017.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS