Pada masa kini, industri pembinaan dikategorikan sebagai pemacu ekonomi utama negara. Pada suku tahun pertama 2023, sumbangan sektor pembinaan kepada Kadar Keluaran Negara kasar (KDNK) mencatatkan jumlah sebanyak 7.4 peratus (DOSM 2023).
Peratusan ini adalah tinggi berbanding sektor-sektor lain seperti perkhidmatan 7.2 peratus, perlombongan dan kuari 2.4 peratus dan pertanian 0.9 peratus.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengalami iklim khatulistiwa dengan bercirikan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Cuaca ini memberi kelebihan dalam beberapa aspek ekonomi umpamanya sektor pertanian.
Namun, dalam sektor pembinaan keadaan cuaca yang kerap mengalami hujan, ribut petir dan angin kencang menjadi punca utama yang menyumbang kepada masalah kelewatan projek.
Kelewatan ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu akan mengganggu proses-proses penyiapan kerja dan seterusnya menjejaskan semua aktiviti pembinaan.
Secara umumnya, industri pembinaan adalah industri yang terdedah secara langsung kepada cuaca. Keadaan cuaca yang melampau memberi kesan yang buruk kepada industri pembinaan.
Antara risiko penting dalam kerja-kerja pembinaan ialah kelewatan dalam penyiapan aktiviti projek. Disebabkan oleh kelewatan ini, sukar untuk sesebuah projek dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.
Kenyataan ini diperkukuhkan oleh beberapa kajian yang melaporkan bahawa cuaca adalah antara faktor yang boleh menyebabkan gangguan, kelewatan dan lebihan kos dalam projek pembinaan.
Hujan dan angin kencang menghalang keupayaan pekerja untuk melaksanakan kerja secara optimum.
Kontraktor dan subkontraktor terpaksa memberhentikan kerja pembinaan sehingga keadaan menjadi selamat dan sesuai untuk meneruskan kerja di tapak binaan disebabkan oleh cuaca yang buruk.
Bagaimanapun, pengaruh cuaca adalah faktor alam semula jadi yang tidak dapat dikawal oleh manusia. Kesukaran dalam meramalkan variasi cuaca boleh menjadi faktor yang mempengaruhi kerja harian projek dan melambatkan proses penyiapan kerja.
Biasanya apabila berhadapan dengan cuaca yang melampau kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan sehinggalah gangguan cuaca tersebut reda. Ia jelas menunjukkan bahawa faktor cuaca sangat mempengaruhi penyiapan kerja-kerja pembinaan di tapak bina.
Projek lewat
Di Malaysia secara umumnya, industri pembinaan berdepan dengan isu kelewatan projek dan pertambahan masa dalam menyiapkan sesebuah projek pembinaan disebabkan oleh faktor cuaca.
Di samping itu, keadaan cuaca di Malaysia yang selalu mengalami hujan dan angin kencang boleh menjadi faktor yang mempengaruhi penyiapan projek serta memberikan impak yang besar kepada penjadualan projek dan kos projek.
Pengaruh cuaca terhadap industri pembinaan diperkukuhkan melalui hasil kajian yang pernah dijalankan menunjukkan bahawa fenomena hujan didapati sangat signifikan memberi kesan yang dominan terhadap tapak binaan.
Hujan sangat mempengaruhi dan mengganggu kerja-kerja di tapak pembinaan terutama apabila hujan lebat berlaku secara berterusan. Keadaan ini boleh mengakibatkan air bertakung dan seterusnya menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
Bahan binaan yang ditenggelami banjir akan mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan. Manakala jentera pula tidak dapat beroperasi secara biasa dan berkemungkinan mengalami kerosakan sekiranya tidak disimpan di tempat yang selamat.
Hujan yang lebat dan berterusan akan menyebabkan air bertakung di tapak pembinaan. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya sistem saliran air yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak sehingga mengakibatkan kejadian banjir.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila sistem perparitan yang sedia ada tersumbat dan ini menyebabkan kerja-kerja pembinaan terpaksa ditunda atau tergendala.
Selain itu faktor keselamatan pekerja juga perlu diutamakan ketika hujan lebat. Dalam situasi ini para pekerja tidak dapat menjalankan operasi (contohnya jika bekerja di bangunan yang tinggi) bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh merisikokan keselamatan mereka.
Keselamatan tapak pembinaan juga akan menjadi tidak selamat kepada pekerja untuk melakukan kerja-kerja yang menggunakan kuasa elektrik kerana risiko untuk terkena renjatan elektrik adalah tinggi. Laluan keselamatan juga menjadi kurang selamat untuk digunakan.
Para pekerja harus mengikuti protokol keselamatan dan tidak digalakkan untuk bekerja sehinggalah hujan kembali reda. Dari segi kesihatan dan produktiviti pekerja pula, air hujan yang bertakung dan tidak dipantau akan menjadi tumpuan habitat nyamuk denggi.
Air yang bertakung dan tercemar turut merisikokan jangkitan penyakit bawaan air kepada para pekerja.
Justeru, dapatlah dirumuskan bahawa kemahiran dan pengetahuan am berkenaan tren cuaca semasa dalam kalangan kontraktor dan pemaju pembinaan terutama di Malaysia adalah penting untuk merangka penjadualan projek pembinaan.
Hal ini bertujuan untuk mengelak kerja-kerja binaan yang penting dirangka sewaktu musim hujan. Ini juga membolehkan tambahan masa yang munasabah dimasukkan dalam penjadualan kerja.
Sokongan data cuaca
Pemantauan berterusan oleh penyelia tapak dan penyelia projek haruslah disokong dengan data cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bagi mengetahui tren cuaca semasa.
Dengan cara ini, kelewatan projek dapat diatasi apabila maklumat cuaca turut diambil kira semasa proses merangka jadual projek.
Penyediaan tempat penyimpanan bahan binaan dan jentera binaan yang baik dan terlindung daripada gangguan cuaca juga sangat penting untuk mengelak bahan binaan dan jentera binaan daripada terdedah kepada risiko kerosakan.
Pemeriksaan berkala juga harus dibuat untuk memastikan kawasan penyimpanan kekal utuh untuk mengurangkan risiko kesan yang akan timbul akibat faktor cuaca-cuaca setempat.
Kaedah ini dapat menjimatkan kos binaan, mengurangkan kos tambahan serta memperbaiki struktur binaan yang mungkin mengalami sedikit kecacatan disebabkan oleh gangguan cuaca.
Selain itu, peraturan keselamatan juga haruslah dipatuhi oleh para pekerja untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Majikan juga haruslah memastikan tiada pekerja yang bekerja dan menghentikan kerja-kerja pembinaan sekiranya berhadapan dengan keadaan cuaca ekstrem.
Oleh yang demikian, dalam keadaan perubahan cuaca yang semakin meningkat kini, sektor pembinaan harus mengambil kira faktor cuaca bagi tujuan merancang kerja-kerja pembinaan.
Ia bertujuan supaya penyelarasan data produktiviti untuk keadaan cuaca tertentu boleh menjangka tempoh masa bagi kesiapan projek dengan anggaran kos yang boleh dipercayai.
PROF MADYA HARYATI SHAFII ialah penyelidik utama Pusat Pengurusan Alam Sekitar dan Infrastruktur Mampan (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.