Paling Popular
Terkini

Maju atau mundur, kaya atau papa sesebuah negara itu terletak atas kebijaksanaan pemerintah membentuk sistem politik, mengatur sistem ekonomi dan melaksanakan infrastruktur sosial. Ini disokong dengan daya pengeluaran atau produktiviti ekonomi rakyat. 

Tetapi kesemua faktor ini berasaskan hubungan rapi (i) antara rakyat dan rakyat, (ii) rakyat dan pemerintah, dan (iii) amanah dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. 

Lantaran,  adalah penting bagi rakyat dan kerajaan berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakyat. 

Perkataan 

Interaksi manusia perlukan perkataan. Ini kerana perkataan merealitikan pemikiran. Sebagai misalan, kalau Ali bayangkan warna “hijau” dalam pemikiran maka hijaulah perkataan yang keluar dari mulutnya, bukan kuning atau merah. Satu perkataan itu mengandungi makna yang khas. Segala komunikasi berjalan dengan lancar dan senang apabila Ali katakan hijau, maka hijaulah fahaman pendengarnya, bukan kuning atau biru.      

Kebenaran

Oleh kerana perkataan mengandungi makna yang tepat dan khusus, ia ada kaitan dengan kebenaran. Perhatikan definisi kebenaran dipetik dari ensiklopedia bebas:

“Apabila kita persetujui sesuatu perkara maka kita akan mengatakan perkara itu benar, ataupun mengakui perkara itu membawa kebenaran.” Dengan lain kata perkataan membayangkan kebenaran.

Sebagai misalan lagi, Ali berkata kepada Asmah “aku cinta padamu”. 

Ini dianggap benar. Asmah mempercayainya, dan Ali bertanggungjawab mematuhinya.Perkataan itu kebenaran. Menurut nenek moyang orang Melayu sendiri, “kata mesti dikota”.  

Disonansi

Dalam alam realiti pula sering kali berlaku apa yang dikatakan, atau kata-kata seperti yang keluar dari mulut Ali, tidak selaras, tidak tepat, dengan apa yang didengar dan difahamkan oleh pendengarnya. Perselisihan ini diberi nama disonansi. Sebagai misalan perhatikan perbualan antara Ali, Atan dan Asmah di bawah:

Ali: “Aku sakit hari ini. Mungkin aku tak dapat pergi kerja.”

Atan: “Oh, kau sakit? OK, aku akan beritahu bos kau kena penyakit Covid-19. Kau pergi jumpa doktor, dia akan beri kau surat MC.

Atan terus menelefon Asmah, setiausaha bos: “Asmah, Ali sakit teruk, mungkin terkena Covid-19. Tak dapat datang kerja hari ini.”

Asmah terus beritahu bos: “YB Datuk, Ali terkena penyakit Covid-19. Tak dapat datang kerja hari ini. Doktor pun dah beri dia MC (sijil cuti sakit) tiga hari.” 

Antara perkataan dan kebenaran ada pula disonansi, kesalahfahaman. 

Hasil disonansi  

Menurut pandangan pakar-pakar bahasa, disonansi ini kurang sihat kerana menyeleweng dari maksud sebenar. Perkara ini bukan remeh, malah mempunyai kekurangan atau kecurangan intelek. Kecurangan kejujuran.     

Ini bukan menuduh disonansi mengandungi hajat, tujuan, tidak jujur. Apabila Ali berkata dia sakit, dia benar-benar sakit, dan “mungkin tak dapat bekerja.” 

Hanya interpretasinya ‘salah’. Ini satu tabiat manusia, minat membesar atau mengecilkan maklumat.

Ada sejenis desonansi yang mengandungi hajat atau tujuan tidak jujur, suatu kecurangan intelek.

Saya cuba menggambarkan kekurangan atau kecurangan intelek jenis ini dengan menceritakan kisah satu kongres diadakan tidak beberapa lama dahulu.  

Kongres Maruah Melayu 

Kongres Maruah Melayu diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober 2019.Menurut laporan seramai 5,000 orang menghadiri perjumpaan tersebut. Menurut berita lagi, kongres membincangkan beberapa isu menghadapi kaum Melayu, seperti kebudayaan, pembelajaran, agama, dan politik. 

Ucapan pembukaan 

Zainal Kling, sebagai ketua eksekutif sekretariat kongres tersebut berucap: “Ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang Melayu dengan sengaja cuba mencabar kontrak sosial yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan.”   

Zainal berkata lagi sekiranya kontrak sosial terus diancam, orang Melayu berhak menolak apa yang telah dipersetujui dengan orang bukan Melayu. 

Beliau mengingatkan kontrak sosial "boleh digantung" jika ada pihak yang melanggarnya.

Beliau tambah kata kata lagi kontrak itu yang dicapai ketika memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu dahulu adalah budi baik orang Melayu dan asas kepada negara ini. 

Beliau mendakwa antara perkara yang kini dicabar ialah kedudukan Islam sebagai agama negara dan kedudukan raja-raja Melayu. 

Disonansi? 

Kita berhenti seketika. Tujuan kongres membahaskan beberapa isu berkaitan orang Melayu, seperti kebudayaan, pembelajaran, agama, dan politik. Zainal pula memberi amaran kepada orang bukan Melayu jangan ambil ringan budi baiknya, tingkah lakunya, agamanya. 

Ini situasi yang aneh dan ganjil. Terdapat satu disonansi (dipanggil jenis D2). Apa kena mengena antara isu-isu Melayu dengan tuduhan bukan Melayu mahu cabar kontrak sosial, kedudukan agama Islam, dan raja-raja Melayu?  

Keganjilan ini mendapat perhatian beberapa pihak. Saya kemukakan di bawah satu daripadanya, dari Mohmad Khalid Nordin, jaguh politik, dipetik dari sarawakvoice.com:   

“Pertama sekali, mengapa ia digelar Kongres Maruah Melayu? Adakah kerana maruah bangsa Melayu kini sudah benar-benar tercalar dan merosot? Sehinggakan maruah Melayu terpaksa menjadi subjek yang perlu dikongreskan? Jika tidak masakan maruah Melayu perlu dibicarakan?” 

Disonansi ini mengandungi kecurangan intelek – kekurangan kejujuran.   

Panggilan polis

Pada penghujung bulan Oktober itu pula terdapat berita mengatakan Zainal Kling dipanggil ke ibu pejabat polis. Menurut repot, ini berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum. 

Menurut ketua polis negara ketika itu Abdul Hamid Bador, Zainal akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkodkan keterangannya.  

Setahu saya apabila seseorang itu dipanggil ke ibu pejabat polis, ini kerana orang itu membuat sesuatu kesalahan. 

Atau ada orang buat laporan bahawa Zainal Kling telah membuat sesuatu kesalahan. Sekiranya begitu, apa kesalahan Zainal? 

Ini satu kemungkinan. Ini kerana salah guna makna perkataan maruah. 

Antara maruah, martabat dan marah 

Kita renungkan hal ini sekali lagi. Maruah bermaksud adanya martabat, kehormatan, kemuliaan, pangkat tinggi. Marwah juga bermaksud seseorang yang wajar menerima kehormatan kerana mempunyai semangat yang kuat dan gagah. 

Contohnya: 

“Tan Sri itu bermaruah tinggi. Beliau kaya orangnya, bersopan santun dan berbudi bahasa, peramah, pemurah, dan seringkali memperjuangkan kepentingan orang orang miskin.”

Zainal Kling meminta orang bukan Melayu tidak mencabar kontrak sosial.  Mana lojiknya Melayu lemah kerana kaum bukan Melayu cabar hak Melayu? Ini bukan sahaja soal disonansi, malah kekurangan atau kecurangan intelek.  

Mungkin pula Zainal maksudkan martabat, bukan maruah. Perbezaan antara martabat dengan maruah kecil sahaja. Orang bermartabatan adalah orang yang banyak tata tertib, sopan santun, budi bahasa. Selalunya pula orang yang bermartabat tinggi jarang sekali bersifat kasar kepada orang lain. 

Dalam pandangan saya, Zainal gunakan maruah (atau martabat) dengan cara menuduh orang bukan Melayu bersifat kasar. Zainal nampak marah sahaja. 

Mungkin beliau patut ubah nama kongres kepada Kongres Marah Melayu.   

Kesimpulan 

Adalah penting diingatkan bahawa 

  1. Perkataan membawa kebenaran. 

  2. Adalah penting kita berwaspada antara perkataan dan kebenaran mungkin ada kesalahafahaman, disonansi. 

  3. Disonansi wujud apabila maksud kata kata disalah faham oleh pendengar. 

  4. Disonansi juga lahir apabila penyebut kata sengaja gunakan satu perkataan, seperti maruah tetapi maksudkan marah.  

  5. Disonansi menunjukkan kekurangan atau kecemaran intelek, dan mungkin merendahkan amanah dan kepercayaan antara pemerintah dan rakyat. 


AB SULAIMAN ialah seorang penulis yang memfokuskan kepada isu-isu Melayu. Buku tulisannya antaranya Looking Into The Alternate Malay Universe: Crisis And Opportunity in A Pandemic dan Pemikiran Melayu: Kolot atau Progresif.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Berikut ulasan-ulasan dalam siri ini: 

Malaysia mundur ke belakang (1)

Perkataan, disonansi dan kebenaran (2)

Mencari kebenaran (3)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS