Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pilih wakil rakyat tak semudah pilih juara Akademi Fantasia'

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram supaya bijak membuat pilihan, kerana memilih wakil rakyat tidak semudah mengundi juara program realiti televisyen seperti "Akademi Fantasia".

Mohamad berkata pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan perlu sedar bahawa pemilihan wakil rakyat yang betul, terutamanya yang bersama-sama dalam kerajaan yang memerintah negeri dan negara, adalah amat penting dalam memastikan suara mereka dapat dibawa dengan lebih efektif.

“Jadi, jangan salah pilih calon kerana tiada gunanya jika tidak bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Ini calon parti kerajaan perpaduan, parti yang mengurus negara ini, kerajaan yang mewakili suara rakyat Malaysia. Kalau salah pilih besok jangan salahkan sesiapa dan akibatnya kita yang tanggung,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan pada program ramah mesra bersama pengundi Simpang Jeram di Taman Seri Jeram di Muar hari ini, bersama-sama calon PH kawasan itu Nazri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata kegagalan untuk menobatkan calon kerajaan perpaduan pada PRK ini bakal memberi ruang kepada pembangkang untuk memecahbelahkan perpaduan yang selama ini dibawa kerajaan perpaduan.

Dia berkata hal ini kerana wujudnya gabungan BN dan PH selama ini bukanlah secara suka-suka, melainkan tercetus daripada satu cita-cita besar untuk mewujudkan kestabilan politik negara.

“Masing-masing letakkan perbezaan di belakang, masing-masing melihat apa negara perlukan pada masa hadapan, jadi undi calon PH-BN ialah mengundi masa hadapan, mengundi untuk kestabilan negara.

“Setelah pengorbanan dibuat oleh semua 16 parti komponen dalam kerajaan perpaduan, termasuk Sabah dan Sarawak, pengorbanan besar ini tidak boleh disia-siakan kerana ia merupakan satu sejarah penting untuk negara,” katanya.

Mujahid berkata dalam perjuangan politik, tidak ada kawan dan musuh selamanya kerana yang kekal ialah prinsip yang diperjuangkan oleh sesebuah parti.

“Prinsip terbesar untuk negara untuk rakyat, untuk kestabilan, untuk masa depan, itulah prinsip yang menemukan kami (PH) dengan BN,” katanya.

PRK di Simpang Jeram dan Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak pada Sabtu ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS