Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih lapor polis terhadap Zahid atas dakwaan kesalahan pilihan raya

Seorang pemerhati pilihan raya daripada Bersih membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan kesalahan ketika berkempen untuk calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) Pulai Suhaizan Kaiat.

Bercakap dengan pemberita di luar ibu pejabat polis daerah Johor Bahru Selatan hari ini, Thomas Fann berkata dakwaan kesalahan itu dibuat ketika Zahid berucap di PPPR Melana Indah di Perling, iaitu salah satu kerusi DUN di Parlimen Pulai, pada 3 September lalu.

"Dia (Zahid) pada asasnya berkata kepada pengundi yang dia telah terima sejumlah permintaan daripada (Exco perumahan Johor) Jafni (Md Shukor), permintaan untuk bina rumah, projek di kawasan ini.

"Kemudian dia kata tiada masalah langsung untuk dia beri kelulusan namun bergantung kepada jika pengundi di sini mengundi Suhaizan Kaiat.

"Jika Suhaizan kalah, mungkin mereka akan timbang semula. Itulah yang dia kata," dakwa Fann yang merujuk ucapan Zahid yang dipetik oleh sebuah portal berita.

Fann bagaimanapun mengakui tiada pemerhati Bersih yang mendengar sendiri ucapan Zahid.

Dengan laporan yang dibuat, Fann berkata polis perlu mengambil keterangan Zahid berhubung kemungkinan pelanggaran Seksyen 9 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan sogokan dan pengaruh tidak wajar.

Dia juga menegaskan laporan itu bukan bermakna Bersih menyasarkan Zahid, selepas presiden Umno itu dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan di mahkamah.

Katanya, dua perkara itu tiada kaitan dan pemerhatian Bersih terhadap ucapan Zahid sebelum ini mendapati ada unsur sogokan dan pengaruh tidak wajar.

"Tiada asas untuk kata kami sasarkan Zahid.

"Kami akan buat laporan terhadap sesiapa sahaja yang langgar undang-undang ketika kempen ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS