Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had 100kg beras putih tempatan berkuat kuasa hari ini

Mulai hari ini, seorang individu dihadkan untuk membeli maksimum 10 beg beras putih tempatan 10kg, bersamaan dengan 100kg.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Azman Mahmood menjelaskan bahawa had itu dilaksanakan sebagai tindak balas kepada pembelian beras putih yang berlebihan.

“Kita dapati ada peniaga-peniaga yang membeli beras putih dalam satu masa dalam 500 ke 700 kampit.

“Sebab itu kita buat sekatan pada hari ini bermula pada hari ini 10 pek sahaja mengikut peraturan 10(1b) setiap orang hanya boleh membeli 10 kampit beg 10kg ataupun 100 kilo,” katanya.

Dia menambah bahawa had baru ini akan kekal berkuat kuasa sehingga kenaikan harga beras putih yang diimport menjadi stabil.

Azman berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas sesi dialog sektor padi dan beras Belanjawan 2024 di Serdang hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu turut hadir pada sesi dialog itu.

Menurut kementerian itu, inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Khas Nasi Putih Tempatan.

Ini berikutan satu lagi langkah intervensi di bawah program di mana pengilang padi dan pemborong beras diminta menambah bekalan beras putih tempatan sebanyak 20 peratus.

‘Tiada lonjakan harga di Sabah, Sarawak’

Sementara itu, Azman menafikan berlaku lonjakan harga beras di Sabah dan juga Sarawak.

“Import beras putih Sabah tidak dikawal oleh kerajaan.

“Sebarang kenaikan harga akan mengikuti pasaran di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Azman berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan parti Warisan terhadap lonjakan harga beras keluaran tempatan, seiring dengan kenaikan harga beras putih import yang diumumkan oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) baru-baru ini.

Dia juga menafikan terdapat manipulasi bekalan beras putih tempatan, di mana pihak tertentu mendakwa jenama tempatan telah mengubah pembungkusan mereka untuk meniru beras import.

Dia menyebut bahawa kementerian tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai perkara ini, sambil menambah bahawa tiada bukti konkrit untuk menyokong dakwaan itu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan tidak berasas itu.

Selain itu, Azman menjelaskan bahawa simpanan beras Malaysia bersamaan dengan nilai sebulan setengah, dan negara juga mengekalkan stok dagangan yang boleh bertahan sehingga 6 bulan.

Dia berkata, rakyat tidak perlu gusar kerana stok dagangan cukup untuk bertahan sehingga Aidilfitri tahun depan dan stok simpanan itu hanya akan diambil dalam keadaan kecemasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS