PRK JOHOR | Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Sungai Abong Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh, mendakwa masyarakat dan pengundi Cina merupakan golongan yang paling gerun apabila memikirkan PAS akan menjadi kerajaan.
Dia yang mewakilil kawasan Sungai Abong selama dua penggal berkata kebimbangan itu lahir berdasarkan corak kepimpinan yang ditonjolkan PAS ketika ini.
“Mereka sangat-sangat khuatir dan gerun apabila memikirkan apakah masa depan mereka sekiranya PAS yang ada pada hari ini (yang dilihat) bersikap ekstrem akan memerintah negara.
“Contohnya, ahli perniagaan, mereka sangat bimbang dengan trend yang berlaku dalam negara kita pada hari ini,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di kediamannya di Taman Desa, Muar, kelmarin.
Ahli politik veteran itu berkata demikian mengulas perbezaan corak kepimpinan PAS sebelum ini dengan sekarang.
Mengulas lanjut, Pengarah Pilihan Raya PH Simpang Jeram itu berkata kebimbangan masyarakat Cina juga tidak dapat diredakan dengan penjelasan dan penegasan yang dibuat oleh kepimpinan PAS dan gabungannya, PN.
Sheikh Ibrahim berkata segala penegasan yang dibuat kepimpinan parti itu semata-mata mahu meraih undi mereka ketika pilihan raya.
“Mereka (masyarakat Cina) tak rasa begitu, mereka akan rasa mereka berada di kelas yang kedua dalam negara ini dan apa yang dikatakan, ditegaskan oleh kepimpinan PN itu sekadar untuk merayu undi bukan Melayu," katanya.
Pimpinan PN khususnya PAS dilihat sering kali memainkan isu yang menyentuh 3R baik dalam pilihan raya kecil, pilihan raya negeri mahu pun pilihan raya umum.
Antara pemimpin yang dilihat kerap menjadikan isu terbabit sebagai bahan kempen mereka adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Ekoran kenyataannya berkait isu 3R juga Abdul Hadi kini disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.
Abdul Hadi ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar pada 27 Ogos lalu berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Katanya, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.
Bagaimanapun, Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk “memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang Dipertua Negeri sesuatu negeri berkuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya.”
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga dalam ucapannya dalam siri kempen PRK DUN Simpang Jeram secara terbuka berkata dia akan terus "bersuara" terutamanya melibatkan isu-isu 3R walaupun sudah sembilan kali disoal siasat polis berkenaan isu itu.
Perdana menteri ketujuh itu berkata larangan untuk bercakap isu 3R sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang negara kerana tidak dibawa ke kabinet, dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mahathir juga menegaskan larangan berkenaan tidak dianggap sebagai undang-undang.
Di pentas sama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin turut mempersoalkan sejak bila pemimpin tidak boleh bercakap berkaitan 3R.
“Sejak bila tak boleh bercakap (berkaitan 3R). Kita bangsa Melayu nak membicarakan soal bangsa kita tak boleh?
"Bukan kita nak menyemarakkan perasaan perkauman, (kenapa) tak boleh? Agama kita agama Islam,” katanya.