Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC digesa beri penjelasan terperinci isu DNAA kes Zahid
Diterbitkan:  Sep 6, 2023 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi penjelasan penuh berhubung penarikan balik kesemua 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Selain itu, badan pemantau rasuah itu juga menggesa pengasingan segera kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, untuk mengelakkan pengaruh pertimbangan politik dalam keputusan dan budi bicara pendakwaan.

"Memandangkan justifikasi yang diberikan oleh DPP (timbalan pendakwa raya) Dusuki Mokhtar di mahkamah untuk permohonan DNAA (pelepasan tanpa pembebasan) tidak cukup dibuktikan, AG (peguam negara) mesti secara terbuka memberikan penjelasan penuh menggariskan alasan yang menyokong keputusan itu.

"Jika alasan tidak cukup kuat untuk menyokong keputusan itu, pertuduhan terhadap Zahid sepatutnya dikembalikan semula.

"AGC juga mesti mewujudkan Kod Tatakelakuan Pendakwaan untuk menetapkan dengan jelas prinsip yang harus diikuti oleh pendakwa semasa menjalankan pendakwaan dan menggunakan budi bicara mereka untuk menghentikan kes, sama dengan Kod Pendakwa Raya UK," kata C4 dalam satu kenyataan hari ini.

Malam tadi, AGC berkata bahawa DNAA yang diberikan kepada Zahid adalah berdasarkan alasan yang kukuh.

Mengulas lanjut, C4 berkata penjelasan yang diberikan oleh DPP untuk mengesahkan permohonan DNAA - bahawa perkara baru telah dibangkitkan melalui surat representasi Zahid kepada AGC, yang mesti disiasat, tidak mencukupi untuk mewajarkan pendakwaan dihentikan.

"Adakah perkara yang dibangkitkan dalam surat representasi ini tidak dipertimbangkan atau tersedia pada awal kes? Lagipun, pada peringkat pendakwaan ini, adalah menjadi tanggungjawab pihak pembelaan untuk menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

"Sekiranya mana-mana isu dan fakta baru ini memang menyangkal atau menjelaskan unsur-unsur keterangan pihak pendakwaan, maka mahkamah harus membebaskan Zahid atas dasar bahawa kesalahannya tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah," kata C4.

C4 menegaskan bahawa DNAA Zahid juga telah menimbulkan persoalan, memandangkan hakikat bahawa dia kini merupakan ahli eksekutif penting kerajaan.

"Ini adalah contoh utama bahaya yang wujud apabila pejabat peguam negara dan pendakwa raya tidak dipisahkan, kerana terdapat kemungkinan yang tidak dapat dielakkan bahawa keputusan mengenai pendakwaan tokoh politik utama boleh dibuat atas pertimbangan selain daripada tuntutan keadilan," katanya.

C4 selanjutnya meminta penjelasan mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap permohonan DNAA dalam kes Zahid, kerana Peguam Negara Idrus Harun yang akan akan bersara telah bercuti, dan penggantinya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bertindak sebagai pendakwa raya hanya bermula hari ini.

"Kami berpendapat bahawa keputusan sebesar ini tidak sepatutnya dibuat dalam tempoh peralihan di pejabat peguam negara/pendakwa raya, kerana ia membawa kepada spekulasi tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk memohon DNAA dalam kes ini," tambah C4.

C4 berkata, DNAA kes Zahid akan memberi gambaran individu tertentu kebal daripada akibat tindakan mereka, disebabkan kedudukan mereka.

"Adakah ini bermakna bahawa seseorang mungkin dibebaskan daripada rasuah dan salah guna kuasa sebelum ini jika mereka memilih untuk menyelaraskan diri mereka dengan 'orang yang betul', dan jika ya, adakah ini tidak akan membawa kepada budaya bebas daripada hukuman dalam kalangan pemimpin atasan negara?

"Adakah kehadiran berterusan seorang individu yang dicemari dengan dakwaan rasuah dalam pentadbiran semasa cukup penting untuk mengatasi prinsip asas keadilan?" soal C4.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS