Lebih 550,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat untuk memenuhi permintaan lima sektor kritikal, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, jumlah ini adalah di bawah dua dasar Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) 2.0 khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
"Kerajaan Perpaduan pada Jan 2023 setuju permudahkan dasar membawa masuk pekerja asing untuk penuhi permintaan lima sektor.
"Jumlah yang diperlukan adalah 518,000 pekerja asing untuk suku pertama 2023 berdasarkan unjuran Kementerian Ekonomi.
"Di bawah pelan kelonggaran dan rekalibrasi 2.0 telah menyumbang kepada kemasukan 550,000 pekerja untuk lima sektor sehingga Ogos 2023," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas isu pembekuan pekerja asing sejak 18 Mac 2023.
Lima sektor tersebut adalah pembinaan, perkilangan, pertanian, perkhidmatan dan perladangan.
Semalam Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kementerian itu masih tidak membuat sebarang ketetapan berhubung pembekuan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.
Katanya, pembekuan itu masih dikuatkuasakan selepas jumlah pekerja asing di Malaysia melebihi sasaran ditetapkan.