Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Keputusan mahkamah melepaskan presiden Umno Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah di mahkamah mungkin memberi kesan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam pilihan raya kecil di Johor.

Di Pulai, Perikatan Nasional (PN) segera memainkan isu itu dalam kempennya menentang calon PH Suhaizan Kaiat.

Suhaizan sendiri bagaimanapun tidak berminat mengulasnya, ketika berdepan soalan media hari ini.

“Ini keputusan mahkamah kan? Kita serah pada mahkamahlah.

“Tak (perlu) sentuh pasal itu,” katanya kepada pemberita di sebuah medan selera di Perling.

Semalam anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan dariapda PN Afif Bahardin menyeru pengundi Cina, yang cenderung kepada PH, mempertimbangkan kembali sokongan mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding.

Antaranya Dusuki berkata dia menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghentikan pertuduhan terhadap Zahid dan memaklumkan mahkamah bahawa kes itu hendaklah diklasifikasikan sebagai DNAA.

Zahid Hamidi (mengangkat tangan)

Katanya, keputusan itu dibuat, antaranya kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat pertuduhan terbabit selepas Zahid menghantar representasi kepada AGC dan suruhanjaya itu pada awal tahun ini.

Kira-kira 24 jam selepas keputusan itu, Suhaizan berkata belum ada pengundi yang membangkitkan perkara itu kepadanya.

Dia juga tidak melihat keputusan itu akan memberi kesan kepada peluangnya di kerusi yang sebelum ini disandang oleh allahyarham Salahuddin Ayub, menteri pertanian dan industri asas tani.

Sementara itu, sukarelawan kempen Suhaizan yang memperkenalkan dirinya sebagai Chong berkata, keputusan kes Zahid menjadi perbualan masyarakat Cina, terutama yang membaca akhbar di waktu pagi.

Justeru katanya, lebih baik Suhaizan tidak bercakap banyak berkaitan perkara itu.

Semalam, pencabar Suhaizan daripada PN Zulkifli Jaafar berkata, dia tidak akan melancarkan serangan peribadi terhadap Zahid.

Dia merasakan keputusan mahkamah semalam mempertingkatkan peluangnya di kerusi parlimen itu.

Dua parti dalam PH, DAP dan Amanah, menuntut Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan kenapa pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap Zahid.

Zahid berdepan 47 pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi, badan kebajikan yang diasaskan dan dipimpinnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS