Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu menolak petisyen dikemukakan BN untuk kerusi parlimen Gua Musang berikutan pemecatan pasukan peguam Mohd Azmi Mahmood.

Mohd Azmi merupakan wakil pilihan raya kepada calon BN di kerusi tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah.

Yusfarizal Yussoff yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang dari PN mengesahkan kepada Malaysiakini apa yang berlaku di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh awal hari ini.

"Petisyen Gua Musang telah dibatalkan kerana Ku Li (maksudnya, Azmi sebagai wakil yang merupakan pempetisyen) memecat semua peguamnya, termasuk (Muhammad) Shafee Abdullah dan Hafarizam (Harun),” katanya.

Menurut Yusfarizal, Mohd Azmi menulis surat kepada firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 4 Sept untuk memaklumkan pemecatan mereka.

Salinan surat tersebut, kata Yusfarizal, dihantar kepadanya selaku peguam yang mewakili responden, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, pagi tadi.

Berdasarkn salinan surat yang dilihat Malaysiakini, Azmi mengesahkan pemecatan peguam yang sebelum ini bertindak mewakili ahli politik berkenaan.

Azmi berkata dengan pemecatan itu peguam terbabit tidak lagi mempunyai hak untuk bertindak bagi pihak Tengku Razaleigh dalam petisyen tersebut.

Malaysiakini cuba menghubungi Hafarizam dan Shafee berhubung perkara itu.

Sebelum ini Azmi dilapor memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi kerusi parlimen Gua Musang yang dimenangi Azizi selepas dia menewaskan Tengku Razaleigh dengan majoriti 1,826 undi.

Pada 26 Feb lalu Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen dikemukakan Azmi dan memutuskan bahawa petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan selama 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun, pada 19 Jun lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Azmi dan memerintahkan petisyen itu melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Pilihan Raya.

Selain Yusfarizal, Azizi turut diwakili Takiyuddin Hassan dan Mohd Fauzi Che Abu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS