Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KOMENTAR | Saya tidak pernah kenal sosok manusia bernama Benz Ali.  Saya tidak tahu pun dia ada kedai buku di Wisma Central, Kuala Lumpur, atau dengan siapa dia berkawan, atau buku apa yang dia baca dan tulis.

Hanya beberapa tulisan dia yang tersiar di Malaysiakini yang saya baca dan tidak sepenuhnya saya setuju dengan pemikirannya.

Cuma bagi saya penulis perlu terus menulis. Penulis harus membaca dan menjual apa yang dibaca sebagai gagasan pemikiran untuk dikongsi.

Buku adalah warisan akal manusia yang menjadi fikrah untuk lebih cerdik.

Menjual buku pula adalah menjual kecerdikan untuk disebar walaupun kini teknologi media sosial dan media digital turut berperanan dalam perkongsian maklumat dan pemikiran.

Benz Ali adalah mamat yang saya tidak kenali. Dia pun mungkin tak pernah kenal saya atau bercakap tentang karya saya yang tentunya lebih rendah daripada falsafah Marx dan Lenin.

Kenal atau tidak bukanlah isu kerana yang menjadi fokus sekarang ialah kedai buku itu diserbu oleh polis pemikiran dan bahan bacaan 'dipinjam' untuk tempoh yang entah sampai bila.

Cabar di mahkamah

Saya sering berkata, kerja menyerbu kedai buku dan merampas bahan bacaan adalah warisan budaya Umno. Sejak buku The Malay Dilemma diharamkan lebih lima dekad lalu, kerja membonsaikan fikiran rakyat berterusan.

Rejim akan menentang penerbitan yang boleh mencabar kekuasaan mereka.

Banyak buku cerdik diharamkan atas alasan keselamatan awam. Banyak buku yang sepatutnya diwacanakan bahkan tidak diraikan. Kerja-kerja terkutuk Umno berterusan kerana sebagai rakan kongsi kerajaan madani, kecerdikan akan menyusahkan pola kekuasaan anarkis politik.

Lebih malang kerajaan reformis yang dilaungkan sejak 1998 menjadi sebahagian daripada sekutu Umno untuk agihan kuasa atas nama perpaduan nasional.

Justeru, slogan kebebasan dan keadilan menjadi fantasi politik yang semakin dipersoalkan.

Buku Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi tulisan Benz Ali tidak tersenarai sebagai karya yang diharamkan. Justeru kenapa perlu serbu dan dirampas buku?

Faisal Tehrani

Keadaan sama pernah menimpa Faisal Tehrani apabila polis pemikiran  mengharamkan empat bukunya - Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah - dengan alasan ia mengandungi unsur ajaran Syiah serta bercanggah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Faisal Tehrani mencabar tindakan berkenaan di mahkamah dan menang apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap empat buku berkenaan.

Rejim Umno juga mengharamkan buku The Malay Dilemma yang dikarang oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1970 atas alasan ketenteraman awam.  

Mahathir menerbitkan The Malay Dilemma setelah kalah dalam PRU 1969. Dia menuduh Tunku Abdul Rahman Putra terlalu memberi muka kepada kaum Cina.

Bukan langkah baru

Buku itu dinyahkan daripada senarai 'haram' pada 1981 apabila Mahathir menjawat perdana menteri.

Pada Ogos  2008, Sister in Islam (SIS) melancarkan kempen Jangan Haramkan Buku yang bertemakan 'Haram buku, bakar buku'. Kempen tersebut dilancarkan ekoran tindakan polis pemikiran mengharamkan buku yang didakwa "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar".

SIS menerbitkan buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Setiap buku mempunyai citra tersendiri. Ada sejarah. Ada kesan dan pesan bagi setiap buku. Buku tidak lahir dengan sendiri kerana ada imej dan garis kehidupan yang mahu disampaikan oleh seseorang penulis.

Memusuhi buku adalah melawan fikrah manusia. Ia merupakan kerja terkutuk gerombolan yang tidak mahu fikiran dicerdikkan. Buku mengembangkan dan memperluaskan ufuk intelektual dan memberi pencerahan kepada banyak misteri kehidupan, alam, kewujudan manusia dan bidang ilmu.  

Tindakan menyerbu, merampas dan mengharamkan buku bukan baru bermula pada abad ini. Dalam sejarah China, zaman Spring and Autumn Period dan Warring States Period muncul banyak ilmuan, pakar strategi, dan cendekiawan.

Zaman berkenaan disifatkan sebagai era kegemilangan pelbagai jenis aliran pemikiran dalam memahami isu masyarakat sehingga ia dikenali sebagai hundred schools of thought.

Apabila Maharaja Qin Shi Huang berjaya menakluk semua enam negeri pada 221 SM, atas cadangan daripada penasihatnya, Li Si, dia mengorak langkah pengharaman wacana yang bertentangan dengan falsafah pentadbirannya, iaitu legalisme.  

Buku yang mengemukakan idea bertentangan dengan legalisme diharamkan, manakala  460 orang cendekiawan dan ilmuan ditanam hidup-hidup.

Di pelbagai negara, bukan sahaja buku diharam, penulis dibunuh atau hilang tanpa dikesan.  Daripada 320 juta buku pernah diterbitkan di dunia setakat ini, sebahagiannya telah diharamkan oleh negara tertentu, termasuk Malaysia.

Polemik tak sihat

Pelbagai alasan diberikan seperti  mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, menggugat kedudukan pemimpin politik, mempunyai unsur lucah melampau, menyentuh perkauman dan keagamaan sehingga boleh mencetuskan ketegangan hubungan etnik dan agama,  serta menghasut.

Sekarang orang bercakap tentang 3R (agama, kaum dan raja).

Tetapi saya lebih percaya serbu, redah, rampas dan haramkan buku juga berkaitan dengan 'R' juga iaitu rasuah.

Rasuah bukan sekadar wang bertukar tangan untuk membeli kuasa. Rasuah juga bermaksud jentera kuasa digunakan untuk memperkasa sesebuah rejim yang semakin dicabar.

Bagi sesetengah pihak keputusan pilihan raya di enam negeri kelihatan memihak kepada lawan politik. Regim jadi gelabah kerana kerap dituduh anti-Melayu dan anti-Islam.

DAP dikaitkan dengan penguasaan Cina terhadap dasar negara. Lim Kit Siang didakwa lahir di benua China komunis.  PKR kerap dianggap liberal dan sekular.  Pengamal LGBT.

Sekutu mereka - Umno - adalah gerombolan dengan kes mahkamah. Amanah pula kerap gagal menyaingi PAS yang kononnya maksum dan ahli syurga.

Telatah dan gelagat politik menimbulkan polemik tidak sihat. Penguasa yang cuba menjernihkan gelora penentangan  terpaksa membina naratif baru.  Dengan alasan menentang pemikiran komunis serta membina akhlak tanpa amalan masturbasi, kedai buku diserbu dan polis pemikiran meminjam buku untuk bacaan percuma.

Benz Ali, fahamlah -  selagi ramai kurang cerdik di persekitaran kita, buku yang cerdik adalah musuh yang paling setia!


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang menilai maksud madani.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS