DAP mengakui sebarang keputusan untuk menamatkan prosiding pendakwaan bagi melakukan siasatan lebih mendalam adalah hak budi bicara peguam negara.
Pun begitu parti terbabit berpendapat penjelasan secara terbuka tetap perlu diberikan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) ekoran keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam.
"DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut," kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Dalam kenyataannya hari ini Loke berpendapat penjelasan tersebut adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan tersebut yang dikemukakan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.
Untuk rekod seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan masih terikat kepada kemungkinan boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak AGC ingin menyemak semula perkara tersebut.
Angkat integriti institusi terbabit
Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.
Perkembangan itu juga mendorong kumpulan pendesak serta orang persendirian menggesa kerajaan menyegerakan langkah mengasingkan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya.
Loke berkata DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada orang ramai terhadap keputusan semalam.
"DAP juga sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah," katanya.
Sementara itu gesaan sama turut disuarakan Amanah.
Setiausaha agungnya Dr Mohd Hatta Ramli berkata parti itu yakin proses perundangan dan prosiding mahkamah ketika kes itu berlangsung sudah dicermati oleh hakim terbabit.
"Namun begitu, Amanah ingin menzahirkan pandangan atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban supaya peguam negara atau Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan tersebut," katanya.
Pada masa sama menurut Mohd Hatta, Amanah menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh parti itu selama ini.
"Amanah percaya dengan penjelasan terperinci tersebut ia akan dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak, sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya AGC serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.