Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO antarabangsa gesa SKMM henti sekat media
Diterbitkan:  Sep 1, 2023 6:48 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

NGO antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil menghentikan sekatan terhadap laman web berita dalam talian.

"RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan ini oleh pihak berkuasa Malaysia, tanpa penjelasan atau dibawa ke mahkamah, terhadap laman web berita yang kritikal terhadap kerajaan," kata pengarah biro Asia-Pasifik RSF, Cédric Alviani, dalam satu kenyataan semalam.

Dia berkata tindakan seperti itu hanya akan memudaratkan demokrasi di Malaysia.

Kumpulan berpusat di Paris ini merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke beberapa laman web berita.

Sejak Jun, beberapa laman web disekat termasuk MalaysiaNow, UtusanTV dan TV Pertiwi. Ini di sebalik jaminan diberikan Fahmi bahawa portal berita tidak akan disekat semasa siasatan sedang dijalankan.

SKMM menjelaskan suruhanjaya itu harus menyekat kandungan mengelirukan ataupun tidak tepat bagi memastikan keharmonian masyarakat, tanpa merujuk kepada mana-mana kes.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.

“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya

“Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.

Pada awal tahun ini, RSF menilai Malaysia pada tempat ke-73 daripada 180 negara - kedudukan tertinggi yang pernah dicapai Malaysia dalam Ranking Kebebasan Media Sedunia. Malaysia juga menduduki tempat tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara selama dua tahun berturut-turut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS