Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga beras putih import dinaikkan ke RM3,200 per tan metrik
Diterbitkan:  Sep 1, 2023 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Harga jualan bagi beras putih import diselaraskan daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini.

Menurut Padiberas Nasional Berhad (Bernas), harga itu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Bernas berkata pihaknya telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun lalu dan langkah itu perlu dibuat ekoran ketidakpastian keadaan semasa, serta untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri.

“Bernas telah mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

“Faktor-faktor ini secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Menekankan bahawa Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah, Bernas menyatakan ia akan terus memantau harga di pasaran antarabangsa dan membuat penyesuaian apabila situasi kembali seperti sedia kala.

Kata Bernas lagi, pihak itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil untuk Malaysia.

“Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing.

“Kami turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk.

“Ini adalah peranan kami sebagai ‘gatekeeper tunggal’ bagi padi dan beras negara,” kata Bernas, sambil menambah syarikat itu kekal komited untuk menjadi "penyerap kejutan" bagi menghalang kesan negatif terhadap negara ekoran ketidaktentuan pasaran global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS