Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Terrirudin dilantik peguam negara baru
Diterbitkan:  Sep 1, 2023 2:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai peguam negara berkuat kuasa 6 Sept.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki bin Ali berkata, mengikut Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ahmad Terrirudin bagi jawatan itu.

"(Ahmad Terrirudin) menggantikan Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 Sept 2023.

"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Idrus atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai peguam negara," kata Mohd Zuki.

Ahmad Terrirudin, 54, dilaporkan merupakan calon pertama yang datang terus daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak bekas peguam negara Abdul Gani Patail yang dilantik ke jawatan itu pada 2002.

Gani Patail berkhidmat sehingga 2015 apabila digantikan oleh Mohd Apandi Ali. Apandi digantikan oleh Tommy Thomas selepas pilihan raya umum 2018.

Ahmad Terrirudin berkhidmat sebagai ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum pelantikannya sebagai peguam cara negara pada Mac 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS