Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gesa mansuh sekolah vernakular: Dr M kini terdesak dalam politik, kata MP

Kenyataan terbaru Dr Mahathir Mohamad yang menggesa supaya sistem sekolah vernakular di seluruh negara dimansuhkan menunjukkan bekas perdana menteri itu kini terdesak dalam politik, kata ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.

Menyifatkan zaman Mahathir sudah berlalu, Kulasegaran mempersoalkan kenapa dia tidak pernah cuba memansuhkan sekolah vernakular ketika dua kali menjadi perdana menteri.

"Kenyataan Mahathir tidak menghairankan. Dia kini terdesak dalam politik.

"Sebenarnya, ketika menjadi menteri kewangan dia pernah memperuntukkan dana kepada sekolah vernakular. Ini menunjukkan Mahathir sendiri yang keliru," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Utusan Malaysia dua hari lalu, Mahathir berkata pemansuhan sekolah itu adalah antara cara terbaik untuk merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

Namun laporan itu turut membangkitkan kenyataan bertentangan Mahathir pada Julai tahun lalu, yang berkata gesaan seumpama itu tidak perlu diberi keutamaan kerana lebih bermotifkan politik.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga naib pengerusi DAP membangkitkan peningkatan pelajar Melayu di sekolah vernakular, terutama sekolah Cina.

"Jika benar sekolah vernakular tidak memberi manfaat tidak mempucuk semangat perpaduan, kenapa tiba-tiba ibu bapa Melayu begitu berminat dengan bahasa Cina dan sekolah Cina.

"Adakah murid-murid ini telah menjadi rasis kerana memasuki sekolah Cina?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS