Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengampunan: Sultan Mizan pernah buat perubahan, dakwa Hadi
Diterbitkan:  Sep 1, 2023 1:04 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pernah melakukan perubahan dalam pemberian pengampunan terhadap pesalah kes bunuh, kata presiden PAS. 

Abdul Hadi Awang berkata dia mengemukakan kaedah hukum syarak itu kepada baginda semasa pemerintahan PAS di Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Hadi ketika itu menjadi menteri besarnya.

“Setelah mendengar penjelasan daripada pihak kami, Tuanku terus melaksanakannya dalam suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Terengganu Darul Iman yang dipengerusikan oleh Baginda, dalam  satu kes pembunuhan seorang wanita.

“Baginda telah membuat suatu perubahan dengan terus menghubungi walinya (keluarga mangsa) bagi mendapatkan izin pengampunan mengikut hukum Islam,” dakwa Hadi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini.

Hadi berkata demikian dalam kenyataannya hari ini, di tengah-tengah siasatan polis terhadapnya atas dakwaan mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan menerusi ceramahnya di Muar pada 26 Ogos lalu.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hadi berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Katanya, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.

Dalam kenyataan hari ini, Hadi mengukuhkan lagi hujahnya dengan memetik ayat-ayat al-Quran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS