PANDUANKINI l Kerajaan bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mencetuskan kontroversi secara tidak sengaja selepas memaklumkan mengenai rancangan memperkenalkan modul “Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi” di sekolah-sekolah.
Kekurangan penerangan di peringkat awal daripada Kementerian Pendidikan dan kerajaan mengenai pelaksanaan modul perintis ini telah menyebabkan banyak kekeliruan, sehingga menimbulkan perdebatan hangat antara kumpulan beragama Islam dan bukan Islam.
Dalam Panduankini ini, Malaysiakini meneliti lebih mendalam tentang modul “Hadis 40” dan kontroversi yang terpalit.
Apa itu hadis?
Hadis adalah kata-kata Nabi Muhammad dan jawapannya terhadap soalan-soalan daripada umat Islam pada zaman dahulu, yang turut ditafsirkan bersama dengan al-Quran, yang berfungsi sebagai sumber panduan utama dalam Islam.
Berbeza dengan al-Quran, ayat-ayat hadis bukan ditulis semasa Nabi Muhammad SAW masih hidup.
Sebaliknya, ia direkodkan sebagai satu bentuk sejarah lisan berdasarkan apa yang didengar oleh golongan yang hidup sezaman dengan nabi.
Oleh itu, apabila meriwayatkan hadis, ia selalu diucapkan seperti "menurut sekian-sekian, nabi bersabda…”
Hadis juga diriwayatkan oleh sahabat nabi dan melalui sistem sanad melalui perawi-perawi yang dipercayai.
Apa itu modul ‘Hadis 40’?
Modul Hadis 40 bertujuan untuk mengajar Hadis 40, yang menghuraikan 42 buah hadis - dikumpul dan disusun oleh pakar perundangan Islam abad ke-13 Imam Al-Nawawi - ulama penting dan tokoh dalam mazhab Shafie.
Muslim American Society menyatakan bahawa Imam Al-Nawawi berusaha untuk mencipta kompilasi hadis yang komprehensif dan holistik dalam menyampaikan intipati Islam.
Apa yang diajar dalam ‘Hadis 40?’
Hadis dalam himpunan tersebut kebanyakannya mengajar umat Islam bagaimana bertingkah laku, seperti tawakal kepada Allah, makan dam minum yang dibenarkan, menjauhi perbuatan yang dilarang, bersedekah, dan mengasihi antara satu sama lain.
Ia juga mengandungi anekdot seperti ketika seorang lelaki meminta nasihat Nabi Muhammad, dan berulang kali diberitahu oleh nabi supaya “jangan marah".
Saya dengar terdapat satu hadis yang menggalakkan orang Islam berperang dengan bukan Islam? Adakah ini benar?
Satu kritikan tentang himpunan Hadis 40, adalah berkenaan dengan hadis kelapan (bermaksud):
“Daripada Abdullah lbnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Taala.”
Terjemahan bahasa Melayu bagi hadis tersebut yang menggunakan perkataan “memerangi” telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan keganasan terhadap orang bukan Islam melainkan mereka memeluk Islam.
Adakah hadis kelapan itu bermaksud sedemikian?
Dalam ulasan mengenai kontroversi baru-baru ini, bekas menteri agama Zulkifli Mohamad menyatakan bahawa, berdasarkan bahasa asal yang digunakan, bahasa Arab, berperang seperti yang disebut dalam hadis kelapan itu tidak membawa maksud membunuh.
Dia kemudian menyatakan “al-nas” (orang Musyrik yang memerangi orang Muslim, bukan ahli kitab) yang disebutkan dalam hadis itu merujuk kepada orang bukan Islam yang sendiri berperang melawan orang Islam, dan bukan mereka yang berdamai dengan orang Islam.
Begitu juga mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor memberitahu Malaysiakini bahawa hadis kelapan mesti difahami bersama konteksnya, dan perintah untuk berperang adalah khusus terhadap orang Arab Quraisy bukan Islam yang berperang dengan Nabi Muhammad dan umat Islam awal pada masa itu.
“Prinsip umum Islam adalah tiada paksaan dalam menganut agama Islam seperti yang disebut dengan jelas di dalam Quran.
“Justeru, menurut ramai ulama berwibawa bahawa perintah ini adalah ditujukan khas kepada golongan musyrik Quraisy yang memusuhi Rasulullah dan menentang agama Islam,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad dalam respons berasingan memberitahu Malaysiakini bahawa “memerangi” juga boleh difahamkan dalam konteks sebagai menentang sesuatu secara tegas, seperti memerangi rasuah dan penyalahgunaan dadah.
“Kata-kata memerangi dan melawan adalah sama seperti ungkapan memerangi dan melawan rasuah, salah guna dadah dan sebagainya yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Zulkifli juga menyatakan bahawa terdapat banyak lagi hadis dan ayat al-Quran yang menggalakkan umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam.
Terutamanya, satu hadis dalam himpunan Al-Nawawi dalam hadis 32, yang menggalakkan umat Islam tidak melakukan kemudaratan atau membalas dengan kemudaratan.
Bagaimana modul Hadis 40 menjadi kontroversi?
Laporan mengenai rancangan untuk memperkenalkan Hadis 40 Imam Al-Nawawi sebagai modul di sekolah-sekolah keluar pada 19 Ogos.
Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Omar Salleh berkata modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu hadis itu diajar di sekolah.
Omar berkata ia bagi memastikan penghayatan hadis itu bermula di sekolah, memupuk semangat cintakan dan mendalami kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.
Bagaimanapun, artikel Bernama itu tidak menyatakan pada masa itu sama ada modul itu untuk pelajar Islam sahaja atau membabitkan pelajar beragama lain.
Ia kemudian menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan kumpulan bukan Islam yang menyuarakan kebimbangan sekiranya anak-anak mereka akan dipaksa mempelajari modul tersebut.
Antara mereka, termasuk Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang menyatakan bahawa memaksa orang bukan Islam mempelajari modul itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
Ulasan kumpulan bukan Islam itu seterusnya mendorong kumpulan Islam mengeluarkan kenyataan balas, dengan mengkritik mereka kerana mencampuri hal ehwal Islam yang ditujukan kepada pelajar Islam sahaja.
Adakah ia akan diajar kepada orang bukan Islam?
Jawapannya adalah tidak.
Berikutan kritikan itu, Kementerian Pendidikan menjelaskan pada 24 Ogos bahawa modul itu, yang akan diperkenalkan di sekolah awam, adalah untuk pelajar Islam sahaja.
Kementerian dalam satu kenyataan pada 25 Ogos berkata pelaksanaan program rintis modul penghayatan itu juga hanya melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.
Pada hari yang sama, Anwar juga menegaskan bahawa modul itu hanya ditujukan untuk guru dan pelajar Islam.
Kemudian, pada 27 Ogos, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata kementerian bersedia untuk bertemu mana-mana pihak bagi menjelaskan salah faham mengenai pelaksanaan modul itu di sekolah-sekolah seluruh negara.
Panduankini ini disediakan oleh Isabelle Leong, Raveena Nagotra, dan Zikri Kamarulzaman. Ia diterjemahkan oleh Yasmin Ramlan.