Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zulkifli kekal 'tenang' di belakang jentera kempen PN

Calon Perikatan Nasional (PN) Pulai Zulkifli Jaafar nampaknya tidak cemas meski diamanahkan dengan tugas berat menafikan majoriti dua pertiga kerajaan di Dewan Rakyat.

Lelaki berusia 50 tahun itu, yang profilnya menyenaraikan jawatan pengarah dalam enam syarikat berbeza, berkata tekanan adalah sebahagian daripada usaha membina perniagaan.

"Saya sudah biasa dengan tekanan," kata timbalan ketua bahagian Bersatu Pulai kepada Malaysiakini pada Isnin lalu, iaitu hari ketiga berkempen.

"Dalam perniagaan pun anda akan rasa (tekanan). Jadi saya chill (tenang) saja," kata Zulkifli.

Satu sebab yang diperhatikan Malaysiakini yang membuatkan Zulkifli boleh menjadi begitu "tenang" adalah kerana dia mempunyai pasukan membantunya, yang memikul tanggungjawab kerja kempen.

Semasa wawancara yang diadakan di pejabat PN Pulai, dia diiringi oleh dua orang pembantu.

Pada permulaan wawancara, Zulkifli memohon maaf kerana tidak meneliti soalan yang dihantar lebih awal, yang mana salah seorang pembantunya kemudian membimbingnya untuk menjawab.

Seorang lagi pembantu bertanggungjawab mengendalikan pergerakan kempennya, sebahagian besarnya melibatkan lawatan ke kawasan awam - masjid, medan selera, pasar malam dan lain-lain.

Di media sosial, beberapa kumpulan WhatsApp dan halaman Facebook rasmi memberikan kemas kini tepat pada masanya mengenai jejak kempen Zulkifli, kebanyakannya menunjukkan dia terlibat dengan ramai penduduk tempatan.

Susulan wawancara Malaysiakini, Zulkifli dikejarkan keluar untuk bertemu dan bertanya khabar pengundi di sebuah restoran mamak bersebelahan.

Ketika Zulkifli berjabat tangan dan bergambar dengan pengunjung, seorang sukarelawan kempen bertanggungjawab untuk membuat susulan dengan penjelasan mengapa mereka harus mengundinya, termasuk dakwaan kegagalan Adun Perling, Liew Chin Tong dalam menyelesaikan isu asas tempatan.

Dia kemudian dibawa untuk mengambil gambar di bawah kamera litar tertutup jalan yang didakwa dibiarkan tidak berfungsi, menimbulkan bahaya keselamatan.

"Kita akan memainkan isu ini nanti," seorang lagi pasukan sukarelawannya kedengaran berkata.

Begitu juga dalam menentukan strategi daerah mengundi yang patut diberi tumpuan oleh Zulkifli.

"Fokus daerah mengundi adalah sesuatu yang dikendalikan oleh pasukan utama PN," kata Zulkifli ketika ditanya sama ada dia telah mengenal pasti secara peribadi mana-mana kawasan sasaran berdasarkan trend pengundian pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu.

Salah seorang yang bertanggungjawab menyelaras kempen harian Zulkifli ialah Ketua Penerangan PN Pulai Kamal Azizi Muhammad.

Kamal berkata strategi utama ialah memastikan jentera PN daripada Bersatu, PAS dan Gerakan mencapai semua 289 saluran pengundian dalam tempoh dua minggu, dan bukannya fokus kepada kawasan tertentu di 40 daerah mengundi.

“Selepas kita menganalisis kekuatan jentera kita, kita amat yakin tidak ada isu besar, kerana kita mendapat sokongan daripada negeri lain.

“InsyaAllah kita akan dapat menembusi semua saluran,” kata Kamal kepada Malaysiakini pada Selasa ketika ditemui pada ceramah yang dianjurkan oleh PAS bahagian Pulai.

Dia menambah jentera PN juga mampu berkempen tanpa kehadiran Zulkifli, bagi memastikan liputan lebih besar dalam masa terhad, termasuk program yang disasarkan untuk wanita dan bukan Islam.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna bahawa Zulkifli tidak mempunyai pengetahuan tentang persekitarannya.

Semasa wawancara itu, Zulkifli berkata latar belakangnya dalam perniagaan, termasuk dengan bekas menteri besar Johor, Allahyarham Osman Sapian, menyumbang kepada pemahaman peribadi mengenai isu-isu yang menyelubungi jurang ekonomi, serta kebajikan awam secara keseluruhan.

"Kedua-dua Kempas dan Perling mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing dengan keperluan berbeza. Di Kempas kita tahu lebih banyak kawasan miskin, penempatan setinggan.

“Sebaliknya di Perling, isu kebajikan rakyat. Bagi masyarakat Cina dan lain-lain di kawasan yang lebih elit, mereka lebih tertumpu kepada isu keselamatan,” kata Zulkifli.

Kempas dan Perling adalah dua kerusi DUN di bawah parlimen Pulai.

Daripada dua kerusi itu, Kempas mempunyai jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai iaitu 55 peratus setakat pilihan raya umum lalu, manakala Perling majoritinya bukan Melayu iaitu lebih 60 peratus.

Di kedua-dua kerusi itu, bagaimanapun, PN menduduki tempat terakhir semasa PRU15, hanya memperoleh 21.5 peratus undi di Kempas, dan 15 peratus undi di Perling.

Bagaimanapun, enam pilihan raya negeri telah menunjukkan bahawa sejumlah besar pengundi BN mungkin beralih kepada PN.

Semasa PRU15, BN memperoleh 32 peratus undi di Kempas, dan 23.5 peratus undi di Perling.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN Johor, Nur Jazlan Mohamad - yang merupakan calon BN Pulai pada pilihan raya lalu - sedang berusaha keras untuk memastikan penyokong gabungan itu tidak beralih sokongan.

Sementara itu, Pakatan Harapan bergantung kepada reputasi penyandang kerusi itu, allahyarham Salahuddin Ayub untuk mengekalkan tahap sokongan mereka - yang apabila digabungkan dengan BN, secara teorinya akan memberikan mereka lebih 80 peratus undi.

Namun, dalam hal ini juga Zulkifli kelihatan tidak cemas dengan gabungan pengaruh allahyarham Salahuddin dan Nur Jazlan.

"Tentang pengaruh susah nak cakap. Apa yang ditinggalkan, apa yang sedang dijalankan. Biasanya kalau orang dah tak ada, apa yang dia buat selalunya akan dihentikan.

"Dia (Salahuddin) pun dua penggal jadi ahli parlimen, pengaruh itu normal. Orang akan sentiasa kenang jasa dia. Saya pun akui," katanya.

PRK di parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian Salahuddin.

Salahuddin pertama kali memenangi kerusi parlimen pada 2018, menewaskan Nur Jazlan yang pernah memegang Pulai selama tiga penggal sebelum ini.

Di Simpang Jeram dan Pulai, kedua-dua calon PH sebahagian besarnya berkempen dengan menyorot legasi Salahuddin, termasuk pelbagai inisiatif Rahmah dan bagaimana ia merupakan dasar yang menentang cubaan menyemai perpecahan di kalangan rakyat.

Zulkifli, bagaimanapun, menyorot peranannya sebagai ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sebuah sekolah rendah Cina tempatan yang dihadiri oleh empat anaknya, sebagai kunci untuk membuka hubungan dengan pengundi Cina yang dilihat telah menyumbang kepada kemenangan Salahuddin.

Sementara itu, pemimpin PN dalam jejak kempen Zulkifli, khususnya daripada PAS dan Bersatu, mengulangi dakwaan kononnya pengaruh DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan untuk meneruskan agenda mereka sendiri dan mengancam kepentingan Melayu-Islam.

'Tiada orang luar'

Sementara itu, pemimpin Harapan dan BN menggesa pengundi menolak pengaruh "anasir luar" yang didakwa bertentangan dengan nilai kesederhanaan dan perpaduan yang dipegang oleh rakyat Johor.

Antara lain, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azlene Ambros menyifatkan dakwaan PN tentang peningkatan sokongan kepada gabungan itu, bersandarkan keputusan daripada enam pilihan raya negeri baru-baru ini, sebagai suatu yang akan menghancurkan nilai ‘Bangsa Johor’.

Zulkifli bagaimanapun menafikan persepsi itu dan sebaliknya berkata pemimpin PN dari luar Johor hanya datang membantu kempen tempatan.

"Mereka (pemimpin luar) bantu kita untuk PRK. Di Pulai dan Simpang Jeram. Tapi cara kempen adalah dari kita sendiri dekat Johor. Mereka datang sebagai pembantu, mereka akan ikut kita punya panduan. Tak boleh buat suka hati," katanya.

Zulkifli, yang menyenaraikan kelayakan akademik tertingginya sebagai pemegang Sijil Pembangunan Usahawan dari UiTM Shah Alam, akan menentang Suhaizan Kayat daripada PH, yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia.

Pencabar ketiga ialah calon Bebas Samsudin Mohd Fauzi, seorang pemimpin NGO yang bertanding dan tewas di kerusi Putrajaya pada PRU15 lalu.

Walaupun dilihat sebagai calon paling kurang berpengalaman dalam kalangan ketiga-tiga mereka, Zulkifli berkata dia tetap tidak gentar untuk berbahas di parlimen sekiranya menang pada 9 Sept.

"Kalau kita tak berbahas macam mana kita nak bawa suara rakyat? Berbahas maknanya kita bawa apa yang rakyat nak. Tak ada masalah," kata timbalan ketua bahagian Bersatu Pulai itu ketika ditanya sama ada dia mempunyai sebarang bidang kepentingan utama.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram di Johor pada 9 Sept.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS