Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang penganalisis Bank Negara memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menerima lebih RM2.28 bilion hasil 1MDB dalam empat fasa dari 2011 hingga 2014.

Adam Ariff Mohd Roslan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ini menurut jejak kewangan yang disediakannya berdasarkan analisis 343 dokumen perbankan dan lain-lain dokumen.

“Ringkasnya, didapati bahawa dana tertentu yang diterima oleh Najib Razak dalam dua akaun bank peribadinya di atas (berakhir dengan digit 694 dan 880) di AmIslamic Bank, boleh dikesan daripada hasil yang dikumpul oleh 1MDB dan syarikat berkaitannya dalam empat fasa,” kata saksi pendakwaan ke-47 itu.

Semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion pagi ini terhadap Najib, Adam berkata aliran dana itu berlaku dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore, dan fasa Options Buyback.

Saksi itu berkata bagi fasa Good Star antara 23 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011, RM60,629,839.43 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun berakhir 694 AmPrivate Banking - MR Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di Riyad Bank, Arab Saudi, adalah didapati boleh dikesan dengan terbitan bon 1MDB (Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada 2009 dan Pinjaman Bertempoh Bersindiket pada 2010.

Adam berkata untuk fasa Aabar-BVI antara 30 Okt 2012 hingga 20 Nov 20 2012, RM90,899,927.28 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun berakhir 694 Najib, daripada akaun di Standard Chartered Bank, Singapura yang dipegang atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners, didapati boleh dikesan kepada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited pada 2012.

Penganalisis itu, yang pernah dipinjamkan ke pasukan petugas 1MDB SPRM pada 2018, berkata bagi Fasa Tanore antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013, RM2,081,476,926.00 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun berakhir 694 Najib, daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura yang dipegang atas nama Tanore Finance Corp, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Limited pada 2013.

Saksi itu berkata bagi fasa Options Buyback pada 23 Jun 2014, RM4,093,500.00 daripada hasil dikreditkan ke dalam akaun berakhir 880 AmPrivate Banking - 1MY Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di DBS Bank, Singapura yang dipegang atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited, didapati boleh dikesan kepada hasil pinjaman AS$250 juta 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.

Adam menegaskan bahawa semasa fasa Options Buyback antara 23 Okt 2014 hingga 19 Dis 2014, RM45,837,485.70 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 880 Najib, daripada akaun di Amicorp Bank, Barbados yang dipegang atas nama Vista Equity International Partners Limited, didapati sebahagiannya boleh dikesan kepada hasil pinjaman AS$975 juta 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS