Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno takkan jalin semula hubungan dengan parti penuh muslihat

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan, kerana penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (Umno) harus revisit hubungan itu,” katanya ketika ditanya pemberita untuk mengulas laporan PAS masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama Umno.

Beliau ditemui media selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di Putrajaya malam tadi.

Dilaporkan semalam Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS masih mengambil sikap sedemikian, memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

Reaksi Tuan Ibrahim itu adalah sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menyatakan keperluan supaya semangat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali, khususnya membabitkan dua parti itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS