Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rakam keterangan Dr Mahathir
Diterbitkan:  Aug 29, 2023 11:41 PM
Dikemaskini: 3:49 PM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi raja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata turut diambil keterangan bagi membantu siasatan adalah bekas Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah hingga mengganggu proses siasatan.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Shuhaily (gambar, atas) dalam kenyataan berasingan juga mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook Iman Mustaqim yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor semalam.

Menurutnya hantaran di Facebook tersebut berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata kes turut disiasat oleh unit yang sama di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes berkenaan juga masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS