Paling Popular
Terkini

Mahkamah Pilihan Raya menetapkan sembilan hari pada Okt ini untuk mendengar petisyen pilihan raya calon BN bagikerusi parlimen Segamat, M Ramasamy, yang memohon kemenangan calon PH semasa PRU ke-15 lalu, R Yuneswaran, dibatalkan.

Peguam responden, Lau Yi Leong, mengesahkan tarikh perbicaraan penuh petisyen berkenaan ialah 2 hingga 5 Okt, 9 hingga 11 Okt, dan 23 hingga 24 Okt ini.

Lau memberitahu Malaysiakini, petisyen tersebut ditetapkan untuk didengar oleh hakim mahkamah pilihan raya yang baru, Rohani Ismail.

Awal tahun ini, hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan bantahan awal Yuneswaran dan membatalkan petisyen pilihan raya Ramasamy tanpa mendengar meritnya dalam perbicaraan penuh.

Radzi memutuskan petisyen itu seharusnya dibuat berdasarkan fakta, bukannya sekadar kesimpulan atau andaian.

Dia juga berpendapat petisyen daripada Ramasamy itu tidak mengandungi fakta material yang tepat dan jelas.

Bagaimanapun pada 18 Ogos, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Ramasamy untuk mengembalikan semula petisyen pilihan raya tersebut serta memerintahkan hakim yang baru mengendalikan perbicaraan penuh.

Mahkamah tertinggi negara itu juga mengarahkan mahkamah terbabit mendengar petisyen berhubung dua isu iaitu isu dakwaan rasuah kepada pengundi serta bahan kempen yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan penyelewengan prosedur dalam petisyen pilihan raya tidak memadai untuk dijadikan alasan kepada mahkamah pilihan raya berkenaan membatalkannya.

Pada PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi berkenaan dengan pemenang majoriti 5,669 undi mengatasi tiga calon lain, termasuk Ramasamy.

Melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakannya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran terbabit dalam "rasuah" dengan memberi makanan kepada pengundi semasa satu acara di tokong Cina untuk mempengaruhi mereka.

Calon BN yang telah membuat laporan polis berhubung perkara itu turut menuduh Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya mengenai bahan kempen.

Selain itu, dia turut mendakwa calon PH itu mengagihkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Ramasamy diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS