Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dusuki akhirnya akur aset TH tidak dijual kepada bukan Islam - Mujahid

Bekas pemimpin Dewan Ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji (TH) tidak dijual kepada orang bukan Islam, kata bekas menteri Mujahid Yusof.

Katanya, ia selepas Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini, dalam kes saman fitnah yang dikemukakan.

Mujahid Yusof

“Kini, dengan tindakan yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Ahmad Dusuki akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam. 

“Dengan tindakan Ahmad Dusuki menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama. 

“Khususnya ketika saya menjadi menteri agama bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.

Mujahid berkata, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Dusuki membayar kos sebanyak RM5,000 kepadanya.

Ahmad Dusuki Abd Rani

Untuk rekod, Ahmad Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid berikutan ciapan berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan itu, Ahmad Dusuki menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Shah Alam telah pun menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki itu dengan kos RM11,000.00. 

Ahmad Dusuki yang tidak berpuas hati telah merayu ke Mahkamah Tinggi dan kemudiannya rayuannya turut ditolak tersebut dengan kos RM7,000.00. 

Sementara itu Mujahid berkata, ketika Mahkamah Sesyen menolak saman Ahmad Dusuki terhadapnya, mahkamah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam. 

“Di peringkat Mahkamah Tinggi pula, mahkamah menolak rayuan Ahmad Dusuki sekali lagi telah mengesahkan bahawa ciapan saya itu mempunyai justifikasi kerana ia merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan Ahmad Dusuki yang disiarkan di YouYube pada bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.

“Terdapat penjelasan yang dibuat di parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan. 

“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Ahmad Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000.00 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan,” katanya yang diwakili Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir. 

Tambah Mujahid, dengan perkembangan kes itu dia berharap semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji kini berakhir. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS