Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta: Zeti

Bank Negara Malaysia (BNM) mengesyorkan denda RM23 juta terhadap 1MDB kerana gagal mematuhi arahan bank pusat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, kata Zeti Akhtar Aziz.

Saksi berumur 76 tahun itu berkata untuk mengenakan penalti, BNM memerlukan persetujuan atau kebenaran AG pada masa itu.

“AG menolak jumlah yang disyorkan oleh kami. Kami (BNM) mengesyorkan RM23 juta, namun AG mengurangkannya kepada RM15 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Muhammad Shafee Abdullah

Zeti: Bagi mendenda 1MDB, kami memerlukan persetujuan atau kebenaran peguam negara, dan peguam negara menolak denda yang disyorkan oleh bank pusat.

Shafee: Berapa jumlah (denda yang disyorkan oleh BNM)?

Zeti: RM23 juta.

Shafee: Ini dikurangkan kepada RM15 juta.

Zeti: Ya, betul.

Pada 28 April 2016, BNM dilaporkan telah mengeluarkan surat kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, yang adalah antara tindakan terakhir oleh Zeti sebelum bersara sebagai gabenor BNM.

Nor Shamsiah Mohd Yunus

Kemudian pada 17 Ogos 2018, Gabenor Bank Negara ketika itu Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan bahawa 1MDB telah didenda RM15 juta.

Antara 27 Julai 2015 dan 4 Jun 2018, peguang negara ketika itu adalah Mohamed Apandi Ali.

Sebelum ini, semasa perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Zeti memberi keterangan bahawa Apandi pada 2015 tidak menerima cadangan BNM untuk mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta dua lagi bekas eksekutif firma itu, Casey Tang dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Mohamed Apandi Ali

Perbicaraan akan bersambung esok.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana daripada 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib Razak

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Sementara itu, Bernama melaporkan dalam kenyataan saksinya, Zeti memberitahu bahawa ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana, mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu.1MDB membayar kompaun pada 25 Mei 2016.

Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang percubaan oleh menteri kewangan ketika itu (Najib) untuk mengetepikan denda yang dikenakan ke atas 1MDB ini? Zeti menjawab, "Saya tidak tahu".

Selain itu, Zeti juga menegaskan bahawa AmBank memberitahunya bahawa Najib akan membuka akaun dengan bank itu, tetapi berkata pengarah urusan bank berkenaan Cheah Tek Kuang tidak memberitahunya bahawa ada derma yang dijangka akan masuk.

Zeti sekali lagi menegaskan bahawa bank pusat tidak menjalankan kajian sewajarnya ke atas akaun individu, dan itu adalah kewajipan institusi kewangan masing-masing.

Keterangan Zeti dilihat bercanggah dengan keterangan Cheah sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan 1MDB yang sama, apabila katanya dia telah memberitahu Zeti mengenai "derma" yang dikatakan akan tiba.

Cheah pada 4 Oktober 2022, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia telah mengikuti arahan pengerusi AmBank dan pergi ke rumah Najib pada awal 2011 untuk membantu Najib dengan dokumen pembukaan akaun bank, dan Najib mendakwa akan ada AS$100 juta derma yang datang dari kerajaan Arab Saudi untuk beliau, khusus bagi pelaksanaan aktiviti berkaitan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS