Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhaizan hargai usaha MB yakinkan ahli Umno Pulai

PRK JOHOR | Calon PH untuk kerusi parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, menghargai kesungguhan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menghulurkan bantuan bagi memastikan ahli Umno mengundi pada 9 Sept nanti.

Suhaizan - yang sebelum itu bertemu dengan ahli Umno di kawasan daerah mengundi Sungai Danga - berkata Onn Hafiz adalah kunci untuk meredakan sebarang kegelisahan dalam kalangan akar umbi BN.

Sungai Danga merupakan satu daripada 40 pusat daerah mengundi yang ada dalam kawasan parlimen Pulai.

“Terima kasih atas sokongan dan penjelasan menteri besar yang memang diperlukan oleh ahli di peringkat cawangan (Umno).

"Penjelasan itu saya kira dapat diterima dengan baik (oleh ahli Umno) untuk menangkis pandangan bahawa tidak perlu membantu calon selain daripada dari BN.

“Saya percaya penjelasan beliau diterima baik untuk memesongkan persepsi (dalam Umno) bahawa tidak ada keperluan untuk menyokong mana-mana calon selain daripada BN.

“YB (Onn Hafiz) telah menjelaskan keperluan dan rasional mengapa sokongan (daripada Umno) diperlukan untuk memupuk kestabilan dan perpaduan antara BN dan PH,"katanya.

Suhaizan merupakan calon dari parti kerajaan untuk mempertahankan kerusi Pulai yang sebelum ini dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub.

Taktir kotor pembangkang

Dalam PRU ke-15 pada 19 Nov tahun lalu Salahuddin memenangi kerusi Pulai dengan majoriti 33, 174 undi mengalahkan dua calon lain, termasuk dari Umno-BN, Nur Jazlan Mohamed.

Kempen Suhaizan hari ini turut disertai Onn Hafiz dan Nur Jazlan sendiri.

Suhaizan berkata dia sudah bertemu dengan ahli Umno dari tiga daerah mengundi lain, dan petang akan meneruskan kempen berkenaan bersama Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Secara keseluruhan, kata Suhaizan, wujud keterbukaan dalam kalangan akar umbi Umno untuk menerima politik baru yang diterajui oleh pemimpin tertinggi parti.

"Saya yakin jika kita meneruskan penglibatan ini, kita akan mendapat impak yang baik dalam kalangan 18,000 ahli Umno Pulai," katanya lagi.

Sementara itu Onn Hafiz berkata, semasa menjadi speaker DUN Suhaizan memberikan sumbangan besar kepada Johor dan ada rekod perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat negeri terbabit.

Suhaizan (tengah) diapit Nur Jazlan (kiri) dan Onn Hafiz

"Beliau juga seorang pensyarah, dan saya yakin jika diberikan peluang, beliau akan berkhidmat dengan baik di Pulai dan meneruskan legasi perjuangan Datuk Seri Salahuddin Ayub," katanya.

Sebelum ini muncul rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah akar umbi Umno Pulai apabila calon mereka tidak diturunkan dalam PRK kali ini.

Rasa itu dipercayai mendorong sesetengah pihak menaikkan sepanduk di lokasi tidak dikenal pasti yang didakwa menyatakan mereka menolak calon PH.

Untuk rekod Suhaizan merupakan salah seorang pemimpin utama Amanah di peringkat nasional, selain timbalan pengerusi Amanah Johor.

Nur Jazlan pula menjelaskan kain pemidang yang dinaikkan itu merupakan taktik kotor pihak pembangkang untuk mengelirukan orang ramai.

Dia juga berkata akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan Umno di bawahnya untuk meyakinkan mereka supaya menyokong Suhaizan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS