Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rahmah konsep menyatukan' - DAP Johor tangkis serangan PAS

PRK PULAI | Seorang pemimpin DAP Johor membidas hasrat calon PN bagi DUN Simpang Jeram, Mohd Mazri Yahya untuk menjadikan DAP sebagai antara tumpuan kempennya.

Timbalan Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Bagharib Ali membangkitkan Mazri yang dilaporkan berkata dia ingin memecahkan 'tembok permusuhan' yang didakwanya dibawa DAP.

"Kita nak kata ini politik apa? Kita tak mahu angkat perbezaan," katanya ketika berkempen untuk calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, di pusat khidmat Adun Perling, Liew Chin Tong malam ini.

Selepas penamaan calon pagi tadi, Mazri mendakwa tindakan DAP yang cuba membawakan stereotaip bahawa PAS adalah "parti lebai", telah mewujudkan tembok permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam.

Menyangkal dakwaan itu, Sheikh Omar mengingatkan hadirin berkenaan semangat di belakang konsep "Rahmah" yang diperkenalkan bekas ahli parlimen Pulai Allahyarham Salahuddin Ayub sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Rahmah bukan sahaja tentang bakul makanan, bukan hanya diskaun (harga barang)...Rahmah bermaksud kita tak bezakan kaum.

"Rahmah adalah satu konsep yang menyatukan," katanya.

Turut diadakan adalah pelancaran rasmi jentera PH oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu. Turut hadir adalah barisan pemimpin PH dan BN lain, diketuai Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan (berbaju biru) dan Liew Chin Tong di sebelahnya

Nur Jazlan dalam ucapannya mengakui dia masih berasa kekok berucap di pentas PH dan "apatah lagi pentas DAP".

Namun, katanya lagi, dia sudah lama mempunyai hubungan persahabatan dengan Liew yang terbina sejak 2008 ketika mereka menjadi ahli parlimen.

"Saya dengan Liew selalu berbincang di tempat private, bukan baru (tapi) sejak 2008. Darah pun lebih kurang, saya pun ada darah Cina.

"Walaupun dalam Umno, kempen saya adalah 'jalan tengah'. Perpecahan akan merosakkan negara," katanya lagi.

Pada masa sama, Nur Jazlan yang semalam menafikan dakwaan cawangan Umno di Pulai menolak Suhaizan, berkata dia akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tersebut untuk memujuk mereka agar memberi sokongan kepada PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS