Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mkini perkenal aplikasi Sokong bantu NGO kumpul dana

Malaysiakini hari ini memperkenalkan aplikasi Sokong sebagai platform digital yang membolehkan badan bukan kerajaan (NGO) tidak berasaskan keuntungan untuk membuat kutipan derma secara dalam talian dan seterusnya disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengurus Projek Sokong, Eshwaren M berkata platform berkenaan dibangunkan dengan geran daripada Google News Initiative.

Katanya, pihak yang berminat boleh pergi ke laman web https://sokong.org/ dan memuat turun aplikasi yang berkenaan.

Sokong akan menghubungkan sektor sosial dengan orang ramai dalam usaha mengumpul dana bagi tujuan kebajikan, jelasnya.

Pada permulaannya, Sokong menyasarkan penyertaan 1,000 penderma dana kepada lebih 100 organisasi NGO yang menggunakan platform itu.

"Sasaran untuk tahun ini kita ada 1,000 penderma dan tahun depan 10,000 penderma.

"Kita sasarkan tahun depan (2024) kita nak raih AS$1juta nilai sumbangan pada tahun 2024.

"Jadi, ini sasaran kita, tahun ni kita sasar 100 organisasi menyertai (Sokong), tahun depan 300 organisasi. Mereka boleh sertai dan boleh guna platform kita," katanya ketika majlis pelancaran platform Sokong di ibu pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, hari ini.

Pengurus Projek Sokong, Eshwaren M .

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Mkini Group Sdn Bhd, Steven Gan dan Premesh Chandran yang juga pengasas Malaysiakini.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven yakin pelancaran Sokong untuk mendapatkan dana bagi NGO melaksanakan kerja kebajikannya akan menerima sokongan masyarakat.

Katanya, pencapaian Malaysiakini sebelum ini yang mampu mengutip sumbangan RM500,000 dalam tempoh beberapa jam menunjukan sikap dermawan masyarakat.

"Dua tahun lalu, kami mendapat sumbangan daripada penyokong (Malaysiakini) sebanyak RM700,000 dalam empat ke lima jam," kata Steven ketika berucap.

Bekas ketua pengarang Malaysiakini itu merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan portal bebas ini membayar denda kerana menghina mahkamah melalui kenyataan pada ruangan komen pembaca.

"Sokong berada di sini untuk membantu kedua-dua penerima manfaat iaitu NGO dan organisasi masyarakat sivil yang diwakili sebahagian daripada anda – dan untuk membantu penderma kecil melabur dalam komuniti kami.

"Bagi penerima manfaat, Sokong akan membantu anda membantu orang lain dengan lebih baik.

“Untuk penderma, Sokong akan membantu anda melakukan sedikit sebanyak membantu membina dunia yang lebih baik daripada dunia yang kami warisi,” kata Steven lagi.

Sementara itu, Eshwaren berkata melalui Malaysiakini, Sokong diyakini akan memberi kelebihan kepada NGO yang menggunakan platform itu bagi tujuan mengumpul dana.

Menurutnya, platform itu menyediakan kemudahan bagi mengutip sumbangan untuk jangka masa pendek, sumbangan bertentuk kempen ataupun untuk masa tertentu serta bulanan.

"Sokong akan memastikan kutipan dana dilakukan secara telus dan tidak mengaut sebarang keuntungan," kata Eshwaren.

Melalui platform itu juga, dia berkata Sokong akan membantu dan mempromosikan kerja-kerja kemasyarakat organisasi yang menggunakan platform berkenaan.

"Sebagai Malaysiakini kita ada kelebihan, kita boleh sediakan banyak kemudahan kepada NGO tidak berasaskan keuntungan ini.

"Kita juga bagi mereka teknologi dari segi aplikasi dari segi web digital platform untuk mengumpul dana," jelas Eswaren lagi.

Sementara itu, Premesh dalam ucapan ringkasnya merakamkan penghargaan kepada pasukan Sokong kerana berjaya menyediakan platform berkenaan.

Katanya ia adalah satu kejayaan cukup bermakna bagi menyokong usaha murni yang tidak berasaskan keuntungan.

"Tahniah pasukan Sokong yang mengambil masa beberapa bulan untuk menyiapkan platform ini," kata Premesh.

Hampir 100 tetamu hadir memeriahkan pelancaran aplikasi Sokong termasuk 26 NGO.

Antara NGO yang hadir, Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih), Dapur Jalanan, Rotary Club Of Klang Valley (Rotary), MyReaders dan Shikin's Team Animal Rescuer (STAR).

Rotary dan Kakitangan.com menjadi rakan strategik Sokong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS