Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selain berhasrat menyebarkan lagi pengaruh PN di Johor, calon PN bagi pilihan raya kecil DUN N13 Simpang Jeram, Mohd Mazri Yahya nekad memecahkan 'tembok permusuhan' yang didakwanya dibawa DAP.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, hari ini, Mohd Mazri berkata, ia merupakan salah satu fokus dalam kempen pada pilihan raya kali ini.

“Fokus saya pada masa ini ialah mengembangkan lagi pengaruh PN di kalangan mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Kami juga ingin memecahkan tembok permusuhan yang dibawa oleh DAP dalam stereotaip yang cuba mereka bawakan dengan memberi gambaran PAS ini parti lebai.

“Jadi kita ingin memecahkan tembok tersebut dengan mengatakan kepada DAP bahawa dalam PAS ini kita terdiri daripada pelbagai golongan dan kami semua bersedia berkhidmat demi untuk negara,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu SPR mengumumkan pentandingan tiga penjuru di N13 DUN Simpang Jeram, yang berlangsung 9 September ini.

Dalam PRK ini, Mohd Mazri bakal menentang calon PH, Ir Nazri Abdul Rahman dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu menampilkan calon terbaik daripada golongan profesional untuk bertanding di DUN Simpang Renggam.

“Jawatan dia (Mohd Mazri) sebelum ini pun memberi perkhidmatan kepada semua orang tak kira bangsa dan agama.

“Kita harap akan mendapat sambutan dari pengundi Simpang Jeram,” katanya.

Tambahnya, prestasi PN dalam enam pilihan raya negeri sebelum ini juga memberi keyakinan kepada gabungan itu untuk memenangi kerusi berkenaan.

“Kita yakin dengan gelombang dan juga kebangkitkan rakyat memberikan sokongan kepada PN dalam PRN enam negeri baru-baru ini memberikan petanda yang baik kepada kita dan itulah kita harapkan,” katanya.

Takiyuddin dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kecekapannya mengendalikan proses penamaan calon hari ini.

PRK Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

Allahyarham memenangi kerusi DUN berkenaan sejak 2018 sebelum berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu.

SPR menetapkan hari pengundian pada 9 September depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS