PRK PULAI | BN malam ini menjadi tuan rumah majlis pelancaran jentera kempen pilihan raya kecil bagi calon PH Suhaizan Kayat, menjelang hari penamaan calon esok.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Umno Johor Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed duduk sepentas bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan serta Suhaizan.
Dalam ucapan mereka, tiga pemimpin Umno itu mengingatkan ahli BN yang berhimpun di Kompleks Mohamed Rahmat, Pulai, mengenai perubahan keadaan politik sejak pilihan raya umum ke-15 lalu.
Zahid berkata hanya sembilan bulan lalu pemimpin PH "alergik" kepada warna biru BN, tetapi malam ini jelasnya Aminolhuda hadir bersama calon PRK Suhaizan (gambar, bawah) dan pemimpin Amanah yang lain.
"Cuba bayangkan sembilan bulan lalu alangkah alergiknya mereka, ini hakikat politik Allah telah takdirkan
"Saya cakap terus terang saya benci dia (Mahfuz Omar) dulu...sekarang buka buku baru atas semangat mengukuhkan perpaduan," katanya sambil menuding naib presiden Amanah itu yang duduk bersama hadirin.
Ketika sedang berucap, Zahid mengumumkan ketibaan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
"Bang Mat ni dulu, mana pernah sembilan bulan dulu di dada kanan ada lambang dacing," katanya berseloroh, merujuk anak baju dipakai presiden Amanah itu yang memaparkan logo BN dan PH.
Zahid menegaskan kerajaan persekutuan akan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat jika Suhaizan gagal mempertahankan kerusi yang dikosongkan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin Ayub.
"(Kerjasama politik selepas PRU15 menjadikan kedudukan kerajaan di) parlimen 148 kerusi, maknanya kita cukup dua pertiga majoriti, kerajaan yang kukuh.
"Kurang satu kerusi bermakna hilang dua pertiga majoriti, boleh pinda perlembagaan, boleh pinda persempadanan semula.
"Tanpa dua pertiga majoriti jangan harap kita boleh pinda perlembagaan atau persempadanan semula," kata Zahid.
Sementara itu, Nur Jazlan berkata Suhaizan tidak asing di Pulai, pernah bertanding dua kali untuk PH di Kempas - satu dari dua kerusi DUN di parlimen - satu lagi DUN Perling.
Sambil mengakui tidak pernah membayangkan BN suatu hari nanti akan bekerjasama dengan "musuh ketatnya" PH, Nur Jazlan berkata dia telah mengetepikan sebarang keraguan peribadi mengenai perkara itu.
"Saya tak pernah terbayang kerjasama ini akan berlaku. Takdir Allah 'musuh-musuh ketat' boleh bersama sepentas.
"Saya teruk kena hentam sampai kalah. Saya patut orang yang paling susah untuk terima (kerjasama ini).
"Tapi saya pendam semua perasaan, akan pastikan kemenangan (Suhaizan)," katanya ketika berucap.
Nur Jazlan turut mengingatkan walaupun gabungan jumlah undi yang diterima pada PRU15 antara dirinya dan Allahyarham Salahuddin boleh membayangkan kemenangan milik Suhaizan, namun jentera parti tidak seharusnya leka.
"Sebab ini PRK mungkin orang tak berminat untuk datang mengundi," katanya.
Sementara itu, Khaled Nordin turut menyeru jentera parti untuk meyakinkan pengundi di Pulai serta Simpang Jeram supaya tidak "membazirkan undi" mereka dengan memilih wakil rakyat yang tidak mewakili parti dalam kerajaan negeri atau persekutuan.