Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadis 40: Tiada paksaan kepada bukan Islam - PM 
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Kerajaan Perpaduan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sebaliknya modul penghayatan hadis itu hanyalah untuk guru serta pelajar beragama Islam, dan inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis berkenaan adalah usaha untuk memupuk kefahaman agama itu dalam kalangan umat Islam sendiri, terutamanya golongan anak muda.

“Inisiatif itu (penerbitan hadis) adalah untuk orang Islam terutama anak muda kerana penting untuk mereka menguasai dan memahami Islam, jadi orang bukan Islam jangan salah faham.

“Mendalami ilmu agama adalah bersandarkan kepada Al-Quran, Hadis dan kupasan ulama muktabar,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama jentera Kerajaan Perpaduan di Iskandar Puteri, hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia pada 19 Ogos lepas melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

KPM dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan inisiatif menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi adalah usaha untuk memupuk semangat kasih sayang selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Bagaimanapun inisiatif itu menjadi polemik, terutama dalam kalangan penganut bukan Islam.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar meminta penganut agama lain tidak meremeh usaha untuk meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap agama.

“Jangan minta kami yang Islam ini untuk meremehkan keyakinan terhadap agama kami, kerana kami tidak minta saudara-saudara (bukan Islam) merendah dan meremehkan agama lain,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri juga mahu usaha meningkatkan fahaman Islam dalam kalangan anak muda dipertingkat agar tidak menjadi generasi yang dangkal ilmu serta mengelak daripada menjadi mangsa kepada golongan penunggang agama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS