mk-logo
Berita
Peruntukan DUN sama rata: Bersih puji Kelantan
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 4:38 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

NGO reformasi pilihan raya, Bersih mengucapkan tahniah atas "kematangan politik Kerajaan Kelantan" susulan pengumuman Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud (gambar judul) bahawa pentadbirannya akan menyediakan dana pembangunan kawasan yang sama rata untuk semua Adun negeri itu.

Ini termasuk dua kerusi DUN pembangkang Kelantan yang diwakili BN dan PH.

"Pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang sama rata tanpa melihat kepada keberpihakan politik seperti yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Saarani Mohamad sejak 2020 dan kini diikuti oleh Kerajaan Negeri Kelantan perlu diteladani dan diikuti oleh negeri-negeri lain.

"Kematangan politik seperti yang dilakukan di Perak dan Kelantan adalah jalan ke hadapan untuk negara bergerak ke arah politik yang lebih profesional dan tidak menghukum hanya kerana berbeza ideologi politik,” kata Bersih pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Badan pemantau pilihan raya itu juga menyarankan supaya kerajaan Kelantan dan Perak melakar sejarah dengan menggubal undang-undang bagi memperuntukkan dana pembangunan kawasan sama rata untuk semua wakil rakyat negeri.

"Bersih turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan serta semua 9 Negeri dan Wilayah Sabah dan Sarawak untuk segera mengkanunkan dan memberikan peruntukan CDF yang sama rata kepada semua Adun mereka tanpa mengira keberpihakan politik," katanya lagi.

Bersih seterusnya mengingatkan PH dan BN, blok terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan sekarang, bahawa gabungan itu telah berjanji pada manifesto pilihan raya mereka yang lalu, untuk memperuntukkan dana yang sama rata kepada semua wakil rakyat.

"Rakyat sudah lama menunggu janji ini dikotakan.

"Tidak cukup untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan persediaan kerajaan persekutuan untuk memberikan peruntukan kepada ahli parlimen Pembangkang tetapi mahukan ketua pembangkang parlimen daripada gabungan PN untuk datang berunding dengan kerajaan persekutuan.

"PH dan BN bertanggungjawab bukan sahaja untuk melaksanakan manifesto ini diperingkat Persekutuan dan di semua negeri yang diperintah mereka, tetapi juga merundingkan satu pakej undang-undang CDF sama rata di Persekutuan dan di semua 13 negeri termasuk yang diperintah oleh PN, GPS, dan GRS," jelas NGO itu.

Bersih berkata penafian dana pembangunan sama rata di kawasan yang dimenangi wakil rakyat pembangkang merupakan satu bentuk hukuman kepada rakyat.

"Sekalipun jika peruntukan itu diturunkan pula melalui penyelaras kawasan parti pemerintah yang sering kali bakal calon, ia tetap penyalahgunaan sumber kerajaan untuk tujuan kepartian secara keji.

Gambar hiasan, DUn Sarawak.

"Bukan saja penganaktirian wakil rakyat pembangkang - dalam kes paling ekstrem di Sarawak, Adun kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM8 juta minimum setahun sedangkan Adun pembangkang diberi RM0 (tiada dana) - tidak boleh diterima langsung.

"Malah penganaktirian separa seperti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang - di mana Adun kerajaan diberi lebih peruntukan daripada Adun pembangkang - juga amalan lapuk yang tidak selaris dengan nilai (kerajaan) Madani," katanya.

Menurut Bersih, pihaknya dengan kerjasama kumpulan pemikir Ideas, telah menjalankan penyelidikan mendalam mengenai penyediaan dana pembangunan kawasan yang sama rata dan merangka draf rang undang-undang untuk digunakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS