Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktifkan semula jawatankuasa antara agama - Abim
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 3:56 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan mengaktifkan semula Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang ditubuhkan tiga tahun lalu.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz menyaran perkara itu susulan “salah faham” melibatkan dasar kerajaan berhubung perbezaan pandangan pemimpin pelbagai kaum dan agama. 

Faisal tidak menyebut secara khusus “salah faham” itu.

Bagaimanapun dia dipercayai merujuk kepada pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah yang mengundang kebimbangan kumpulan bukan Islam.

“Selain dari menjadi medium untuk memupuk keharmonian kaum, Abim ingin mengusulkan agar jawatankuasa ini turut berperanan untuk menjadi platform menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada pemimpin pelbagai agama agar sebarang salah faham boleh diatasi dengan baik,” katanya.

Faisal Abdul Aziz

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 14 Ogos 2020 ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA).

Antara tujuannya bagi memantapkan hubungan baik pemimpin serta penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling hormat-menghormati dan kerjasama di semua peringkat.

Harmoni sepatutnya bersidang dua kali setahun dan dipengerusikan bersama oleh menteri perpaduan dan menteri agama dengan keanggotaan 24 orang pemimpin badan-badan agama atau wakil pertubuhan yang dikenal pasti oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jawatankuasa teknikalnya pula sepatunya bersidang empat kali setahun melibatkan Kementerian Perpaduan, Jakim dan Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim) dengan dipengerusikan secara bersama oleh ketua setiausaha KPN dan ketua pengarah Jakim.

Sementara itu, Abim berkata salah faham boleh diselesaikan sekiranya wujud platform perbincangan pemimpin antara agama agar penjelasan lanjut dan inklusif dapat dilaksanakan.

Faisal juga berkata, Harmoni juga harus diberi peranan menjayakan agenda Malaysia Madani dalam konteks keutuhan hubungan antara kaum menerusi penerapan modul dan program lapangan kepada generasi muda. 

“Abim juga ingin menggesa agar jawatankuasa sebegini turut diwujudkan di peringkat negeri agar aspirasi kerajaan dalam membina perpaduan rakyat turut disambut dan difahami masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Salah satu versi buku Hadis 40, gambar hiasan

Beberapa kumpulan seperti Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) dan Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap pengenalan modul itu.

Bagaimanapun, ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja, kata Lim Swee Kuan, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Modul itu mahu diperkenal untuk memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS