Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya ada hak berpolitik' - Dituduh warga asing, DD Chronicles lapor polis

Mengakui kedua ibu bapanya adalah pemegang kad pengenalan merah, pempengaruh Dediy Sulaeman Ra'e,43, yang menggunakan nama Dd Chronicles di media sosial, mendakwa dia merupakan rakyat Malaysia yang lahir di negara ini.

Oleh itu Dediy berkata dia mempunyai hak untuk bersuara dan menyokong mana-mana parti politik di Malaysia.

"Ibu bapa saya memegang kad pengenalan merah, tapi Allah takdirkan saya lahir di sini, bukan saya minta.

"Jadi saya rasa dakwaan yang mengatakan saya pendatang asing adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal waras.

"Bahkan pendidikan awal saya juga bermula di sini," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru di Sungai Buloh, Selangor.

Pemegang kad pengenalan merah adalah mereka yang berstatus pemastautin tetap dan bukannya warganegara.

Dediy dikenali di media sosial antaranya menerusi lagu-lagu parodi dan sebelum ini secara terbuka menyuarakan sokongan kepada PN pada PRN lalu.

Hari ini dia membuat laporan polis berhubung dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini bahawa dia adalah warga asing dan berhubung dakwaan kecurian data apabila orang ramai dapat mengakses maklumat peribadinya.

Hadir bersama-sama peguamnya Asiah Jalil, Dediy berkata dia turut menunjukkan sijil kelahiran kepada pihak polis semasa membuat laporan.

"Saya berhak menyuarakan pandangan dan pendapat saya demi masa depan anak cucu saya kelak.

"Saya harap mereka yang menyebarkan perkara tidak betul pasal saya, padamlah (hantaran di media sosial)," katanya lagi, sambil menambah dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terus berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS