Negara-negara BRICS tidak bersaing dengan sesiapa dan menyokong pembentukan orde dunia multipolar baharu, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis, lapor Xinhua.
"BRICS tidak bersaing dengan sesiapa dan tidak berusaha untuk bertindak sebagai pengimbang kepada sesiapa," kata presiden semasa berucap secara maya pada mesyuarat format BRICS Plus/Outreach.
Beliau berkata negara-negara BRICS kesemuanya adalah penyokong dunia multipolar yang sedang muncul, sambil menambah bahawa trend itu ditentang oleh negara-negara tertentu.
Orde dunia multipolar mempunyai pihak yang menentangnya dan "berusaha untuk menghentikan proses itu" serta mengekang pusat-pusat kuasa baharu, kata Putin.
"Negara-negara yang dikenali 'Golden Billion' ini telah berusaha keras untuk memelihara dunia unipolar... ia sesuai untuk mereka, dan merekalah yang mendapat manfaat daripadanya," katanya.
Pemimpin Rusia itu menyifatkan perkembangan tersebut sebagai "manifestasi kolonialisme," sambil menambah bahawa negara-negara ini "bersembunyi di sebalik slogan demokrasi dan hak asasi manusia" sambil mengeksploitasi sumber negara membangun.
Negara-negara BRICS menentang amalan sedemikian, dan telah membina kerjasama mereka atas prinsip kejujuran, kesaksamaan, dan saling menghormati, kata Putin.
- Bernama