Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nak bertanding cium tangan presiden, bila kalah serang presiden'

Wanita Umno membidas pihak tertentu yang didakwa mereka sanggup "mencium tangan" Ahmad Zahid Hamidi semasa melobi untuk bertanding dalam pilihan raya namun berubah sikap menyerang presiden Umno itu selepas tewas.

Ketua Wanita Umno Malaysia, Noraini Ahmad, hari ini mengingatkan ahli parti terbabit bahawa mereka kini sedang menempuh zaman sukar yang ia menuntut seluruh anggotanya bersatu padu.

Kata Noraini, ketika ini bukanlah masa untuk ahli Umno menyalahkan mana-mana pihak termasuk presiden mereka kerana yang perlu diutamakan sekarang ialah memulihkan imej parti.

Langkah itu, katanya, merupakan tanggungjawab bersama setiap seorang ahli Umno.

Tambahan pula, kata ahli parlimen Parit Sulong itu lagi, usaha pihak yang tidak berpuas hati mahu menukar presiden parti hanya boleh dilakukan melalui pemilihan.

"Bila nak bertanding (pilihan raya) kau pi (pergi) cium tangan presiden. Apabila kalah kau serang presiden," katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur petang ini.

Himpunan itu diadakan sebagai usaha Wanita Umno mempertahan institusi presiden parti berkenaan, khususnya selepas Ahmad Zahid dikritik sesetengah pihak ekoran prestasi buruk parti itu dalam PRU ke-15 serta pilihan raya negeri baru-baru ini.

Antara tokoh yang secara terbuka meminta timbalan perdana menteri itu berundur ialah bekas ahli parlimen Besut, Idris Jusoh.

Sementara itu, Noraini juga meminta supaya anggota Umno memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memperbaiki parti dan mengangkat semula imejnya di mata rakyat.

"Zaman ini zaman sukar, siapa jadi presiden banyak kerjanya. Kita kena ingat penggal lepas presiden tak ada dalam kerajaan.

"Bukan mudah untuk membaiki semula parti selepas kekalahan, berilah beliau (Ahmad Zahid) ruang untuk pulihkan parti ini. Beri beliau peluang untuk beliau angkat kembali parti ini.

"Umno perlu lakukan satu tindakan yang radikal, luar biasa untuk memulihkan imej di mata rakyat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS